Isnin, 8 Ogos 2016

Larsen senang hati Melnikov turun malam ini

ARKIB : 11/04/1998
PASUKAN elit Pantai Timur, Pahang menarik nafas lega apabila bintang import barunya, Viatchelav Melnikov layak diturunkan pada pertemuan menentang Sarawak di Stadium Darulmakmur, malam ini, lapor ABDUL RAHIM OTHMAN.

Ini berikutan Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) bekas pemain kelab Torpedo Moscow itu, yang menjadi 'misteri' sebelum ini telah pun diterima pagi semalam.

Perkabaran terkini itu memperlihatkan keceriaan diwajah jurulatih dari Denmark, Jorgen Erik Larsen serta kem skuad Tok Gajah.

Larsen dengan nada gembira mengakui tugasnya semakin mudah dengan kehadiran Melnikov dalam kesebelasan Pahang pada perlawanan malam ini.

Pada perlawanan sulung ketika menentang Sabah, Sabtu lalu, penyerang import termahal Pahang itu sekadar hadir sebagai penonton.

Larsen menjanjikan pertemuan malam ini lebih menarik dengan gandingan mantap disemua posisi dengan kemasukkan Melnikov dibarisan serangan Pahang.

Menurut Larsen, Melnikov yang akan bergandingan dengan Azizul Kamaluddin diletakkan harapan untuk meledakan serangan sekali gus menembusi gawang lawan.

''Saya pastinya mengharapkan kehadiran Melnikov akan menghasilkan keputusan yang terbaik serta memberikan kepuasan kepada semua pihak khususnya penyokong,'' katanya kepada Sukan Utusan di Kuantan, semalam.

Larsen berkata, apa juga strategi yang akan digunakan oleh rakan sejawat Alan Vest, tidak memberikan kebimbangan kepadanya dalam perlawanan itu.

''Kita telah menyedari di mana kekuatan serta kelemahan yang ada pada pasukan Sarawak. Semuanya ini saya serahkan kepada kesebelasan pemain untuk melaksanakannya,'' katanya.

Larsen turut yakin dengan barisan pertahanannya yang diketuai Emmanuel Kofi Ampiah yang telah memperlihatkan persefahaman yang kental.

''Saya harap mereka tidak melakukan kesilapan apabila berhadapan dengan rangkaian serangan pelawat yang diketuai Alistair Edwards dan Bobby Pian,'' tegasnya.

Menurut Larsen, beliau telah mengenalpasti pemain yang sesuai bagi memikul tugas khas mengekori Alistair sepanjang perlawanan itu.

Selain Alistair, katanya, pemain tengah Sarawak, Ramos Sari dilihatnya sebagai pemain bahaya yang akan menjadi 'duri dalam daging' kepada pasukannya.

''Saya akan pastikan pemain itu tidak dibiarkan bergerak bebas serta berjaya melakukan sebarang percubaan ke arah gol,'' katanya sambil mengharapkan, Muadzar Mohamad lebih berhati-hati di gawangnya.

Tambahnya, misi utama malam ini adalah menebus maruah dua kekalahan musim lalu ditangan Bujang Senang yang sukar dilupakan khususnya kekalahan di gelanggang sendiri.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perlawanan Liga Perdana Pahang, Datuk Dr. Yusof Mohd. Ali menyarankan peminat-peminat sekitar bandar Kuantan supaya membeli tiket lebih awal.

Ini bagi mengelak kesesakan dikaunter tiket serta kelewatan peminat untuk masuk ke dalam stadium.

Menurutnya, tiket-tiket berharga RM15, RM10 dan RM7 akan dijual dipintu utama stadium mulai pada pukul 10 pagi ini. Barisan kemungkinan: Muadzar Mohamad, Jalaluddin Abu Jaafar, Kharirulniza Mustaffa, Emmanuel Kofi Ampiah, Suhaimi Mohd. Nor, Ali Mat Tahar, Azaruddin Aziz, Joszef Duro, Shahrulnizam Sahat, Azizul Kamaluddin, Viatcheslav Melnikov.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0411&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4Gizh6aZO © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan