Ahad, 9 Februari 2014

Hafiz gembira ledakannya buat JDT merana

Kuantan: Wira Pahang, Mohd Hafiz Kamal (gambar) berasa puas kerana jaringannya pada masa tambahan membolehkan skuad Tok Gajah memungut tiga mata berharga selepas membenam Johor Darul Ta'zim (JDT) 3-2 kelmarin.

Hafiz yang dikenali menerusi sepakan percuma menyifatkan kemenangan bermakna di Stadium Darul Makmur itu hasil daripada kerjasama semua pemain yang dahagakan kemenangan.


"Saya amat gembira dan puas apabila jaringan ini membantu pasukan meraih tiga mata berharga. Kemenangan ini diharap memberi lebih kekuatan buat Pahang mengharungi saingan Liga Super musim ini.

Cabar pasukan teratas

"Namun, komitmen tinggi rakan sepasukan memberi keputusan terbaik buat Pahang untuk bersaing dengan pasukan teratas," katanya di sini, semalam.

Pada perlawanan kelmarin, Matias Conti dan Mohd Fauzi Rozlan, masing-masing menjaringkan satu gol buat skuad Tok Gajah tetapi jaringan Hafiz pada masa tambahan membolehkan skuad itu menewaskan JDT.

Dua gol JDT pula, masing-masing satu disumbangkan oleh Pablo Aimar dan Safee Sali. Sementara itu, pengendali Pahang, Ronald Smith memuji prestasi pemainnya yang berjaya mengawal permainan walaupun hampir terlepas tiga mata berharga.

Katanya, kesungguhan pemainnya untuk meraih tiga mata berbaloi walaupun lawan berjaya menyamakan kedudukan ketika mereka ketinggalan.
"Bagi saya aksi perlawanan malam ini (kelmarin) amat berkualiti dan kami bernasib baik kerana layak meraih tiga mata berharga.

"Begitu juga penyokong Pahang yang membantu memberi suntikan semangat kepada pemain. Apapun kemenangan ini begitu menggembirakan," katanya. - Oleh Asrol Awang

BERITA HARIAN ONLINE 9.2.14

Tiada ulasan:

Catat Ulasan