ARKIB : 15/02/2001
SESUDAH beraksi tanpa kalah dalam
tiga perlawanan persahabatan lalu, Pahang mulai berani untuk memperjudikan
kemampuannya ke peringkat lebih mencabar dengan menyertai Kejohanan Empat
Penjuru pada pertengahan bulan ini.
Ketua jurulatih Pahang, Yunus
Alif berkata, kejohanan di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang bermula hari Ahad,
dijangka mampu menjadikan anak buahnya lebih yakin dan cekal dalam aksi
pertandingan.
Malah kejohanan pemanas badan itu
juga bakal menguji ketahanan rekod tanpa kalah Tok Gajah di tempat lawan pula
setelah cuma bermain di gelanggang sendiri, Stadium Darul Makmur, Kuantan.
Sejak penghujung lalu sehingga
Isnin lalu, anak buah Yunus tanpa dua tonggak kebangsaan, Ahmad Shaharuddin
Rosdi dan Mohd. Ali Tahar ini menewaskan skuad Piala Emas Raja-Raja senegeri
4-3, seri dengan Telekom Melaka 1-1 dan menang 1-0 ke atas KL Malay Mail.
Yunus turut berharap kejohanan
itu menjadi detik terbaik skuad Tok Gajah membaiki sebarang kelemahan yang
masih wujud sebelum turun dalam persaingan sebenar bola sepak Liga Malaysia -
Piala FA, bulan depan.
``Pahang akan bersaing pada
kejohanan itu dengan tuan rumah, Perlis dan kelab Gombak United dari
Singapura,'' katanya ketika dihubungi Sukan Utusan di Kuantan, semalam.
Mulai sekarang, anak buah Yunus
patut menganggap ketiga- tiga pasukan itu berada setahap lebih baik dan
bukannya seperti tiga lawan persahabatan lalu yang cuma bertaraf Perdana Dua
dan luar Liga M.
Seperti Pahang, Pulau Pinang dan
Perlis merupakan pasukan Perdana Satu dan masing-masing memiliki reputasi pada
Piala Malaysia dan Gombak United sendiri tidak terkecuali untuk turut disegani.
``Khabarnya Gombak United
mempunyai beberapa pemain asing. Corak persembahan mereka yang tentunya berbeza
dianggap satu proses membina skuad Pahang yang rata-ratanya terdiri daripada
tenaga muda,'' kata Yunus.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0215&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4bOy0DFO9
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan