ARKIB : 17/03/2001
PERANTARA Pahang, Ahmad
Shaharuddin Rosdi hanya akan dialih ke posisi penyerang sekali gus bergandingan
dengan Azizul Kamaluddin apabila Yunus Alif menemui masa yang sesuai untuk
berbuat begitu.
Serentak itu ketua jurulatih Tok
Gajah ini berpendapat, Shaharuddin akan kekal sebagai perantara sekurang-kurangnya
selagi pasukan tidak mengalami masalah ketumpulan penyudah yang ketara.
Menurut Yunus di Kuantan,
semalam, dia juga perlu mengkaji persembahan semasa pasukan sebelum mengambil
sebarang keputusan drastik untuk mengubah posisi mana-mana anak buahnya.
``Shaharuddin tak boleh dijadikan
penyerang lagi. Dia lebih berperanan di bahagian tengah tapi kita kena tengok
situasi permainan. Kalau ada, kita boleh tempatkannya sebagai penyerang,''
katanya.
Yunus mengulas menjelang
pertemuan kedua dengan NS Chempaka pada pusingan pertama bola sepak Piala FA di
Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban hari ini. Sesudah menang 2-0 di
Kuantan, Pahang kini cuma perlu seri untuk mara ke pusingan kedua.
Shaharuddin dibenarkan kembali
menyertai Pahang sempena Piala FA setelah digugurkan daripada skuad negara ke
pusingan kelayakan Piala Dunia kumpulan tiga Asia di Hong Kong dan Qatar, bulan
ini.
Turut digugurkan daripada skuad
itu ialah benteng Tok Gajah, Mohd. Ali Tahar yang kurang memberangsangkan Yunus
ketika pasukannya mengutip modal pendahuluan menerusi jaringan Khairul Nizam
Man dan Azizul, Selasa lalu.
Yunus juga tidak menolak
kemungkinan untuk terus mempertaruhkan kembar A atau Double Aces - Azizul dan
Azmani Kadir selaku penyerang apatah lagi persembahan mereka terbukti
meningkat, Selasa lalu.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0317&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4bUTwTtkB
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan