ARKIB : 03/02/2001
MUADZAR Mohamad sekadar mampu
menjadi pemerhati di luar sesi latihan pramusim Liga Malaysia Pahang ketika ini
apabila terpaksa menjalani proses pemulihan kecederaan lutut kanannya selama
seminggu, lapor ABDUL HAFIZ AHMAD.
Ketua jurulatih Tok Gajah, Yunus
Alif berkata, musibah terbaru yang menimpa Muadzar itu sekali gus membuka
peluang yang luas untuk Azrul Hisyam Yusof melonjak sebagai penjaga gol utama.
Kata Yunus, buat masa ini Azrul
kian pasti diberi kepercayaan mengawal gawang Pahang sekalipun Muadzar
memberitahunya sudah tidak terasa sakit lagi pada lututnya.
``Kita perlu tengok keadaan Muadzar
itu dari semasa ke semasa sebelum mengambi sebarang keputusan,'' kata beliau di
Kuantan selepas mengendalikan sesi latihan di Padang Majlis Perbandaran Kuantan
(MPK), semalam.
Musibah yang menimpa Muadzar itu
menjelma ketika dia bermain dalam tempoh 20 minit separuh masa kedua perlawanan
persahabatan dengan skuad Piala Emas Raja-Raja Pahang di Stadium Darul Makmur,
Kuantan, Sabtu lalu.
Dia bagaimanapun hampir pulih
selepas menjalani rawatan di Hospital Pakar Glen Eagles di Subang Jaya,
Selangor.
Kecederaan bekas pemain
kebangsaan itu turut menggencatkan percaturan Yunus sesudah baru sahaja menemui
penawar masalah gandingan penyerang Azizul Kamaluddin dengan kemunculan Azmani
Abdul Kadir atau digelar `kembar A.'
Namun musibah buat Muadzar
seperti satu rahmat kepada Azrul, bekas pemain skuad remaja Malaysia yang turut
meraih pujian Yunus hasil persembahannya pada sesi latihan dan perlawanan Sabtu
lalu.
``Tanpa Muadzar, Azrul kini
menjadi penjaga gol utama. Malah hasil sesi latihan dan persahabatan lalu
membuktikan prestasi Azrul berjaya menenuhi perancangan saya,'' akui Yunus.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0203&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_08.htm#ixzz4bNnoRSHK
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan