ARKIB : 14/02/2001
SATU lagi pengajaran berguna
diperoleh Pahang selepas menewaskan pasukan Perdana Dua, KL Malay Mail 1-0 pada
perlawanan persahabatan menjelang persaingan bola sepak Piala FA, pertengahan
bulan depan.
Ketua jurulatih Tok Gajah, Yunus
Alif berkata, bertindak secara agresif dan mengamal rentak panas merupakan
antara elemen yang berjaya dikutip oleh anak buahnya pada perlawanan
persahabatan di Stadium Darul Makmur, Kuantan, kelmarin.
Menurut beliau, anak buahnya juga
diyakini sudah semakin matang dalam menyesuaikan diri dengan aksi yang berbeza
ditampilkan oleh pelbagai pasukan Liga Malaysia.
``Tekanan corak agresif amalan KL
Malay Mail berjaya mematangkan dan amat berguna buat Pahang. Persefahaman
pemain juga tampak sudah mula terpupuk,'' katanya selepas perlawanan
persahabatan ketiga Tok Gajah itu.
Jaringan kemenangan Tok Gajah itu
disumbangkan oleh pemenang bersama Kasut Emas Perdana Satu 2000, Azizul
Kamaluddin yang kali ini bermain secara sepenuh masa.
``Persembahan kami cuma bagus
sekitar 30 peratus dan selebihnya masih memerlukan lebih banyak usaha untuk
membaiki dan menggilap,'' kata Yunus.
Apa pun jika mengukur dari segi
keputusan, Pahang dianggap masih kebal daripada sebarang kekalahan selepas tiga
perlawanan persahabatan setakat ini.
Terdahulu Tok Gajah menang 4-3 ke
atas skuad Piala Emas Raja-Raja senegeri sebelum sekadar seri 1-1 dengan satu
lagi pasukan Perdana Dua, Telekom Melaka yang kedua-duanya berlangsung di
Kuantan.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0214&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_10.htm#ixzz4bOoBQDDN
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan