ARKIB : 28/01/2002
KEGAGALAN membaca dengan tepat
pergerakan bola baru dan hilangnya penguasaan di bahagian tengah nyaris
menghukum Pahang ketika memulakan kempen bola sepak Liga Perdana Satu kelmarin.
Jika dua faktor ini tidak
ditampung segera sebelum babak kedua, jurulatih Pahang, Ahmad Yunus Mohd. Aliff
sendiri terpaksa menelan hakikat bahawa anak buahnya pasti tersungkur.
Mujurlah kesedaran pemain untuk
tidak lagi mengulangi kesilapan lalu cepat terpupuk sekali gus membantu Pahang
bangkit sebelum melangkah bergaya dengan kemenangan 2-1 ke atas Sarawak.
Ditemui di Stadium Darul
Makmur, Kuantan, kelmarin, katanya: ``Saya tak nafikan gol lawan itu akibat
kesilapan benteng dan Zuraimi Hassan (penjaga gol) tetapi pergerakan bola turut
memainkan peranan.
``Ia agak berbeza hinggakan
sukar bagi pemain menjangka pergerakannya. Lantunannya juga tinggi tetapi
mujurlah kami cepat belajar untuk menyesuaikan diri pada babak kedua,'' kata
Yunus.
Selain itu beliau mengakui, Tok
Gajah ternyata tempang pada babak pertama apabila barisan perantara mereka yang
diketuai oleh Shahrulnizam Sahat mudah terikut-ikut dengan rentak lawan.
``Disebabkan lawan menghimpun
sehingga lima pemain di tengah, Pahang gagal mengimbanginya. Kami terikut
dengan corak terbuka lawan lalu muncul pula gol akibat kesilapan benteng dan
penjaga gol,'' katanya.
Menurut Yunus, anak buahnya
bagaimanapun tidak lagi memberikan banyak ruang kepada Bujang Senang untuk
mengganas dalam babak kedua sebaik sahaja memadatkan bahagian tengah tersebut.
Tatkala yang lompang itu
ditampung, amukan Tok Gajah kemudian tidak mampu dibendung lagi untuk
memperoleh dua gol dalam tempoh enam minit menerusi Azizul Kamaluddin dan Ahmad
Shaharuddin Rosdi.
Sambil menyifatkan aksi sulung
Pahang berakhir dengan tiga mata itu sebagai satu permulaan yang baik, beliau
berkata: ``Ia masih perlu diperbaiki dalam tempoh lima hari menjelang
perlawanan kedua.
``Saya nampak tumpuan selepas
ini akan lebih diberikan kepada pertahanan. Ada juga pemain yang didapati agak
was-was dengan emosi mereka ketika bermain. Ini perlu kami atasi,'' katanya.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0128&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4br5OEAq8
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan