ARKIB : 27/12/2000
Pengesahan itu sekali gus
menepati janjinya untuk membuat keputusan sebelum Aidilfitri setelah mengakui
'jodohnya' dengan skuad Tok Gajah sudah berakhir gara-gara masalah kewangan
PBNP, Khamis lalu.
Azizul, berkata, dia sudah
bersedia untuk menyarung jersi skuad Seladang sebaik sahaja segala urusan
pembayaran yuran perpindahan dan surat pelepasan rasmi diselesaikan antara PBNP
dengan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA).
"Saya pun tak sangka
banyak masalah yang akan timbul apabila mahu berhijrah ke Perak. Pemain lain
yang sudah tamat kontrak berhijrah juga tetapi tiada masalah yang mereka
hadapi,'' katanya.
Penjaring terbanyak Perdana
Satu 2000 ini turut mengakui, tindakan PBNP mengenakan yuran dan pelepasan
hanya akan menyulitkan laluannya untuk menyertai juara bertahan Piala Malaysia
tersebut.
Mengenai tarikh dia dijangka
berbincang dengan PAFA dan menandatangani kontrak dengan Perak, penyerang
terbilang ini berkata: "Jika pelepasan dan yuran perlu dijelaskan dan
diperoleh, terpaksalah saya tunggu sehingga segala-galanya selesai.''
Kelmarin Naib Presiden I PBNP,
Datuk Jamal Nasir Ismail menjelaskan, yuran perpindahan yang dikenakan kepada
persatuan lain untuk mendapatkan khidmat Azizul ialah kurang daripada
RM100,000.
Bagaimanapun Azizul berkata,
dia akan berjumpa sendiri dengan pegawai PBNP dalam tempoh terdekat ini untuk
membincangkan soal penghijrahannya.
Sementara itu, Azizul, 28,
berkata, dia tidak bimbang dengan cabaran baru yang menantinya di Perak
terutama tentang persaingan merebut tempat dalam kesebelasan utama.
"Sekalipun umur saya sudah
28 tahun, saya tidak fikir itu akan jadi halangan besar untuk bersaing dengan
penyerang muda Perak seperti Khalid Jamlus dan V. Saravanan.
"Yang penting, saya mesti
banyak bekerja keras untuk merebut tempat sebagai penyerang utama,'' katanya
yang kali terakhir pernah membarisi skuad negara pada Sukan SEA Brunei.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1227&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4bIN0zcQg
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan