ARKIB : 21/02/2001
Oleh: ABDUL HAFIZ AHMAD
Tiada sebarang kemenangan dan
kutipan mata yang mengiringi kepulangan pasukan Pahang selepas menyertai
Kejohanan Empat Penjuru di Pulau Pinang yang berakhir Ahad lalu.
Tiga perlawanan dengan tuan
rumah, Gombak United dan Perlis sepanjang kejohanan itu mendedahkan betapa
banyak kelemahan perlu digilap oleh Tok Gajah menjelang persaingan bola sepak
Piala FA, bulan depan.
Anak buah Yunus Alif ini dibenam
0-4 oleh dua pasukan Perdana Satu, Pulau Pinang dan Perlis selain kalah tipis
0-1 kepada Gombak United, kelab dari Singapura yang turut membariskan lima
pemain asing.
Yunus turut mengakui kedudukan
tercorot dalam kejohanan empat hari itu membuktikan Pahang perlu bekerja lebih
keras dalam sesi latihan pramusim Liga Malaysia selepas ini.
``Pahang masih di peringkat
pembinaan pasukan. Kami memerlukan lebih banyak masa. Malah dengan sebilangan
besar pemain muda, tiada kejayaan yang boleh dicapai sekelip mata,'' katanya.
Sambil mengakui keputusan itu
mencerminkan kelemahan barisan benteng dan ketumpulan penyudah Pahang, Yunus
bagaimanapun tetap mempertahankan kemampuan anak buahnya.
``Pulau Pinang dan Perlis bukan
calang-calang pasukan. Kedua-duanya mantap kerana gandingan pemain mereka sudah
lama terpupuk dan sudah tentu jauh lebih berpengalaman,'' tegasnya di Kuantan,
semalam.
``Pahang ke Pulau Pinang untuk
menimba pendedahan dan pengalaman tanpa melupakan usaha memupuk persefahaman
antara pemain baru dengan yang senior,'' katanya lagi.
Menurut Yunus, selain itu anak
buahnya kini didapati telah teruji dari segi ketahanan mental malah pemain muda
sendiri turut menunjukkan persembahan yang terpuji.
Beliau merujuk kepada barisan
tenaga muda seperti Shahril Faizal Sharifudin, Mohd. Rafeek Moidony, Iskandar
Zulkarnain dan Zulkafli Hamid serta Khairul Anuar Karim.
``Shahril dan Rafeek menjalankan
tugas dengan berkesan ketika mengawal pergerakan penyerang Gombak United,
Merzagua Abderrazak yang juga bekas penyerang import Pulau Pinang.
``Zulkafli, Iskandar dan Khairul
juga tidak kurang hebatnya dengan kemampuan melakukan serangan satu sama satu
untuk mencari jaringan sekalipun mereka masih baru,'' kata beliau.
Bagaimanapun kata Yunus, sebagai
pemain baru, tumpuan mereka juga diakui mudah terjejas apabila kerap kali gagal
menyudahkan peluang yang terhidang luas itu.
``Mereka tampak tertekan setelah
cubaan sering gagal. Apa pun ketahanan mental beginilah yang saya mahu mereka
biasakan sebelum menghadapi persaingan lebih getir pada Piala FA nanti,''
katanya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0221&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4bPFE7qBl
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan