ARKIB : 27/03/2001
TUGAS berat berganda terpikul di
bahu Yunus Alif dan pasukan Pahang apabila mengunjungi Sabah di Stadium
Penampang, Kota Kinabalu dalam perlawanan kedua pusingan kedua bola sepak Piala
FA, hari ini, lapor ABDUL HAFIZ AHMAD.
Masalah kecederaan tonggak, penggantungan
pemain dan keadaan padang Stadium Penampang yang kurang menyenangkan pasti
menjadi agenda membimbangkan dan berlegar di kotak fikiran Yunus ketika ini.
Hendak atau tidak, ketua
jurulatih Tok Gajah itu perlu mengharungi ujian getir ini dengan serba-serbi
keadaan yang langsung tidak menyebelahinya untuk menghidupkan peluang Pahang ke
suku akhir.
Sesudah tumpas 0-1 dan kehilangan
Ahmad Shahrizan Salleh akibat kad merah di Stadium Darul Makmur, Kuantan,
Pahang nyata amat tertekan untuk memburu sekurang-kurangnya dua gol sebagai
meraih tiket suku akhir.
``Khidmat Azizul sah tidak dapat
digunakan apabila ke Kota Kinabalu. Lukanya terbuka dan perlukan lima jahitan
untuk menutupnya semula. Saya akui memang memerlukan Azizul tetapi apa boleh
buat.
``Di Kuantan lagi dia terpaksa
dikeluarkan. Pilihan saya kini ialah sama ada suka atau tidak, mempertaruhkan
pemain muda lain untuk mengisi tempatnya dalam perlawanan kedua ini,'' kata
Yunus.
Menurut beliau, ketika menjelang
perlawanan pertama pada Sabtu lalu lagi, Pahang sudah dibelenggu masalah
kecederaan tonggaknya seperti benteng Mohd. Ali Tahar dan penjaga gol veteran,
Muadzar Mohamad.
Malah masalah Yunus tidak
berhenti di situ sahaja. Gara- gara kad kuning kedua pada minit ke-46 babak
kedua Sabtu lalu, Shahrizan kini digantung satu perlawanan yang sekali gus
meragut tiket penerbangannya ke Kota Kinabalu.
``Tanpa Shahrizan juga, saya
terpaksa mencari muka baru lain untuk mengisi kekosongan posisi benteng kiri.
Harap- harap yang diketengahkan nanti bersedia untuk menimba sesuatu.
``Mereka perlu sedar, inilah
masanya untuk belajar dan mengerti hakikat bahawa apabila anda kalah, bukan
bermakna anda habis. Bukan begitu sebenarnya,'' tegas Yunus.
Beliau turut merujuk kepada
kesebelasan Pahang pada Sabtu lalu yang walaupun bermain dengan 10 orang, masih
menunjukkan semangat juang yang kental untuk melayani asakan balas pantas
Sabah.
Namun Yunus turut akur, anak
buahnya juga tidak boleh diharapkan terlalu tinggi dan perlu diberi masa lagi
untuk mencapai kematangan dalam mengharungi permainan.
Dalam pada itu, beliau turut
gusar dengan makluman jurulatih Sabah, Ken Worden yang menyebut tentang keadaan
padang Stadium Penampang tidak begitu memuaskan.
``Ken kata padangnya agak teruk.
Ini juga jadi satu masalah,'' kata Yunus yang perlu memimpin Tok Gajah
sekurang- kurangnya menyamai pencapaian mara ke suku akhir selepas membawa
Terengganu menjuarai kejohanan kalah mati kebangsaan ini musim lalu.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0327&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_09.htm#ixzz4bZ9FY1o6
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan