ARKIB : 17/02/2001
REKOD kebal Pahang selepas tiga
perlawanan persahabatan lalu akhirnya lebur ketika bertandang ke gelanggang
luar apabila tewas 0-4 kepada Pulau Pinang dalam Kejohanan Empat Penjuru di
Stadium Bandaraya, kelmarin, lapor ABDUL HAFIZ AHMAD.
Langkahan kecundang pada
kejohanan pemanas badan menjelang persaingan bola sepak Piala FA, bulan depan
itu tercatat ekoran penjaga golnya, Azrul Hisyam Yusof diperintah keluar padang
pada minit ke-40.
Menurut ketua jurulatih Tok
Gajah, Yunus Alif, Azrul dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan kerana
didapati mengasari salah seorang pemain tuan rumah yang dalam percubaan
menjaringkan gol.
``Kami terpaksa memasukkan Irewan
Sulaiman untuk menggantikan tempatnya dan mengeluarkan salah seorang pemain
Pahang lagi,'' kata Yunus ketika dihubungi di Pulau Pinang, semalam.
Dengan cuma menggunakan 10
pemain, Pahang tidak punya banyak pilihan selain daripada mengamalkan corak
bertahan dan memilih jalan selamat sepanjang baki tempoh 50 minit itu.
``Malangnya perlawanan masih
tidak seimbang dan tuan rumah ternyata menggunakan kelebihan seorang pemain dan
pengalaman mereka untuk mencipta kemenangan besar tersebut,'' katanya.
Yunus berkata, gol-gol Pulau
Pinang itu diperoleh akibat kesilapan pertahanan anak buahnya di samping
menerusi serangan satu sama satu oleh penyerang tuan rumah.
``Kami turut cuba membuat empat
serangan balas tetapi penyerang, Azizul Kamaluddin dikawal ketat lawan dan
gandingannya, Azmani Abdul Kadir pula tampak masih gementar,'' katanya.
Apa pun menurutnya, keputusan itu
tidaklah begitu penting kerana beliau lebih melihat perlawanan kelmarin sebagai
proses pembinaan dan pengajaran Pahang.
Pahang akan menentang kelab
Singapura, Gombak United di gelanggang yang sama hari ini. Sebuah lagi pasukan
Perdana Satu Liga Malaysia yang mengambil bahagian ialah Perlis.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0217&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_10.htm#ixzz4bP2qA8mJ
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan