ARKIB : 24/01/2001
'MATI hidup semula' menjadi
ungkapan paling cocok untuk menggambarkan untung nasib benteng veteran Pahang,
Azhar Kamaluddin apabila dia diterima semula menyertai skuad Tok Gajah bagi menghadapi
persaingan bola sepak Liga Malaysia, musim ini, lapor ABDUL HAFIZ AHMAD.
Ini disahkan oleh ketua jurulatih
merangkap pengurus pasukan, Yunus Aliff di Kuantan, semalam.
Azhar yang baru-baru ini kecewa
dengan tindakan Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) mengetepikan
khidmatnya musim ini, disahkan kembali bersama Tok Gajah sejak minggu lalu oleh
Presidennya, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Malah khabar gembira bagi
mengembalikan Azhar itu sekali gus menghidupkan semula peluangnya untuk mendapat
ganjaran tertentu dalam skim khas PBNP sebagai membalas jasa bakti dan
kesetiaannya hampir sedekad terhadap Pahang.
"Azhar sudah kembali bersama
untuk menjalani latihan dengan Pahang sejak Rabu minggu lalu,'' kata Yunus yang
kini mempunyai 23 pemain hasil adunan 10 tonggak senior dan majoriti pemain
Liga Simpanan dan skuad Sukan Malaysia (Sukma) dalam sesi latihan pramusim.
Cuma Mohd. Ali Tahar, Ahmad
Shaharuddin Rosdi dan Hairul Nizam Hanif dikecualikan daripada latihan yang
bermula sejak 8 Januari lalu kerana mengikuti persiapan skuad kebangsaan bagi
menghadapi pusingan kelayakan Piala Dunia di Kelana Jaya, Selangor.
Azhar yang berusia lewat 30-an
sebelum ini dikatakan mahu menyertai NS Chempaka sekalipun kelab dari Negeri
Sembilan itu cuma beraksi dalam Perdana Dua bagi menyambung sisa-sisa
perjuangan dan kerjaya bola sepak profesionalnya.
Sementara itu bekas penyerang
berbisa import Pahang, Viatcheslav Melnikov dijangka kembali bersama Tok Gajah
ekoran penarikan semula larangan khidmat pemain asing mulai tahun depan.
Menurut Tengku Abdullah:
"Melnikov kini dipinjamkan kepada sebuah kelab di Israel. Kita akan tengok
sama ada dia boleh kembali beraksi di Pahang apabila larangan khidmat pemain
asing ditarik balik mulai 2002.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0124&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4bMq56P1J
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan