ARKIB : 09/01/2001
Keputusan itu sekali gus
menggaibkan impian Perak untuk merasakan sentuhan Azizul musim ini, walaupun
pelbagai cara dilakukan Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) untuk memenangi hati
penyerang kebangsaan ini.
Azizul, 28 hadir pada majlis
ringkas di pejabat Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) di Stadium Darul
Makmur, semalam untuk menyelesaikan kebuntuan dan perebutan dua negeri sejak
berminggu-minggu yang lalu. Majlis tersebut turut disaksikan oleh Setiausaha
Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), Ahmad Fuad Daud serta beberapa lagi
pegawai persatuan.
Azizul yang juga penjaring
terbanyak Perdana Satu musim lalu itu membuat keputusan berkenaan selepas tidak
mahu lagi terperangkap dengan konflik Perak-Pahang yang berebut untuk
mendapatkan khidmat beliau musim ini.
Terdahulu, Azizul ketika
dihubungi pada sebelah pagi, menjelaskan, dia tidak mahu dibebani oleh sebarang
masalah sekirnya terus menjadi perebutan antara dua negeri itu.
Ditanya adakah beliau sudah
memikirkan semasak-masaknya sebelum mengambil keputusan untuk terus bersama
Pahang, Azizul cuma berkata, "biarlah saya kekal di sini. Susahlah kalau
berhijrah.''
Dengan ini, Azizul akan menyertai
16 pemain Pahang yang lain untuk memulakan sesi latihan yang bermula di Kuantan
semalam di bawah bimbingan ketua jurulatih, Yunus Alif.
Kontroversi perebutan untuk
mendapatkan khidmat Azizul bermula apabila dia tidak hadir pada majlis
menandatangani kontrak pemain Pahang pada 18 Disember lalu. Beliau kemudiannya
mengakui 'jodohnya' bersama Pahang sudah berakhir gara-gara masalah kewangan
PBNP yang tenat dan hatinya mula cenderung untuk berhijrah.
Bagaimanapun, hasrat Azizul
tersekat apabila PBNP meletakkan yuran perpindahan tidak lebih RM100,000 kepada
mana-mana pasukan yang mahu mendapatkan khidmatnya. PAFA menyifatkan yuran PBNP
itu sebagai keterlaluan dan masanya belum sampai untuk dilaksanakan oleh mana-mana
persatuan.
Kemuncak perebutan khidmat Azizul
tiba pada Sabtu lalu, apabila Naib Presiden I PBNP, Datuk Jamal Nasir Ismail
memberitahu, penyerang itu sudah mengubah fikirannya untuk berhijrah dan ingin
terus bersama Pahang.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0109&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4bJ50ewh5
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan