ARKIB : 19/12/2001
JIKA anda berasa cukup cergas
dan memenuhi kehendak Pahang dalam menghadapi kempen bola sepak Liga Malaysia,
buktikannya pada Kejohanan Empat Penjuru di Kedah pada 27 hingga 31 Disember
ini.
Mesej tersebut disuarakan oleh
ketua jurulatih, Ahmad Yunus Mohd. Aliff sekalipun menyedari berat badan
majoriti anak buahnya bakal meningkat apabila menikmati juadah Aidilfitri seperti
ketupat, rendang dan lemang.
Pengambilan banyak makanan
berlemak sudah pasti merendahkan tahap kecergasan mereka dalam minggu perayaan
itu tetapi Tok Gajah tampak kesuntukan masa untuk berkompromi dengannya.
Persatuan Bola Sepak Malaysia
(FAM) menetapkan 3 Januari depan sebagai tarikh mendapatkan lesen penyertaan
Liga M sementara persaingan Perdana Satu akan bermula pada 26 Januari.
Ini bermakna barang siapa yang
tidak mengambil berat tentang kadar berat badan mereka bakal menjejaskan
peluang sendiri untuk memperoleh lesen seperti yang ditetapkan oleh FAM itu.
``Kalau mahu beraksi pada Liga
M, pemain patut menyedari hakikat ini. Sebagai pengukur awal, mereka
dikehendaki membuktikan kecergasan ini di tahap meyakinkan ketika di Kedah
nanti,'' katanya di Kuantan.
Yunus yang tetap mengerah 21
pelatih pasukan menjalani latihan sepanjang bulan Ramadan lalu, mengakui tahap
kecergasan mereka sekadar sekitar 60 peratus.
``Tidak banyak yang dapat kita
peroleh sepanjang latihan tiga minggu itu,'' katanya sambil menegaskan, kesemua
pelatih diarah kembali menyambung latihan mulai esok setelah bercuti raya.
Mengenai kejohanan di Kedah
itu, beliau berkata, turut menyertainya ialah juara Piala Malaysia, Terengganu,
Kuala Lumpur selain tuan rumah yang akan bersaing pada Perdana Dua.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1219&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4bq1nMNaI
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan