Oleh SHAHRULANOOR ISHAK
ASHARI (belakang) dan Alves
masing-masing menjaringkan satu gol ketika membantu Pahang menewaskan PKNS di
Kuantan kelmarin.
KETUA jurulatih Pahang, Dollah
Salleh mengakui gembira menyaksikan pemain tengah, Mohamad Ashari Samsudin
kembali mempamerkan prestasi terbaik selepas bekas pemenang Anugerah Kasut Emas
2010 itu mencetak gol ketiga ketika membantu skuad Tok Gajah menumpaskan PKNS
FC 3-0 di Stadium Darul Makmur, Kuantan kelmarin.
Menurut Dollah, bekas tonggak
Terengganu itu sebelum ini dilihat bergelut memulihkan prestasi sejak menyarung
jersi Pahang pada awal saingan Liga Super 2017, namun kebangkitan yang
dipamerkan Ashari ketika menewaskan PKNS kelmarin ternyata membuktikan pemain
itu masih layak digelar The Silent Killer.
“Penjaga gol, Azraie (Wan
Muhamad Azraie Wan Teh) banyak memainkan peranan untuk menyelamatkan keadaan
ketika diasak serangan PKNS pada separuh masa pertama.
“Pada separuh masa kedua,
Pahang berjaya menguasai keseluruhan permainan yang merupakan hasil daripada
aksi konsisten dipamerkan semua pemain.
“Saya lihat Ashari juga sudah
kembali mendapat rentak terbaik pada perlawanan malam ini (kelmarin), begitu
juga dengan Joseph Kallang Tie yang sebelum ini gagal mempamerkan gaya
permainan seperti diharapkan,” ujar Dollah ketika ditemui sejurus tamat
perlawanan.
Pada saingan itu, Ashari
melengkapkan gol ketiga selepas menerima hantaran daripada pemain sayap kiri,
Ahmad Syamim Yahya ketika perlawanan memasuki minit ke-70.
Terdahulu, Pahang meraih gol
pertama pada minit ke-12 yang disudahkan pemain pertahanan, Mohd. Afif
Kamarudin dan disusuli jaringan kedua disempurnakan Matheus Alves Leandro
menerusi sepakan penalti (m-58) sejurus Mohamadou Sumareh dikasari di hadapan
gawang PKNS.
Mengulas lanjut, Dollah
menambah, Ashari yang pernah menjulang Piala AFF Suzuki 2010 bersama skuad
kendalian bekas jurulatih kebangsaan, B. Sathianathan juga diyakini mampu memberi
lebih banyak impak buat Pahang menjelang saingan seterusnya.
“Kalau ditetapkan (konsisten)
dengan prestasi seperti itu, saya yakin akan ada lebih banyak peluang
menjaringkan gol yang boleh dicipta (Ashari) pada perlawanan seterusnya.
“Dengan kelebihan dimiliki
Pahang menerusi Sumareh dan Alves, saya yakin para pemain (termasuk Ashari)
mampu terus memastikan Pahang mendapat tiga mata pada setiap perlawanan,” kata
Dollah.
Sebagai rekod, Ashari mencetak
pencapaian terbaik pada 2011 apabila berjaya membantu Terengganu menjulang
Piala FA serta meraih gelaran naib juara bagi kempen Liga Super dan Piala
Malaysia
Sumber-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0302&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4aAOxntu8
Hakcipta terpelihara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan