ARKIB : 20/03/2001
PAHANG kini lebih bimbangkan
kemampuan pasukan underdog seperti kelab atau skuad Perdana Dua kerana
tentangan habis-habisan mereka sentiasa memaksa para pemainnya mengerah segenap
kudrat untuk bertahan, lapor ABDUL HAFIZ AHMAD.
Ketua jurulatih Tok Gajah, Yunus
Alif berkata, dalilnya ialah apabila kelab Perdana Dua, NS Chempaka sendiri
tidak memberikan laluan yang mudah untuk anak buahnya mara ke pusingan kedua
bola sepak Piala FA, Sabtu lalu.
Menurutnya, tentangan yang
sedemikian juga pasti didatangkan oleh Sabah, pasukan Perdana Dua yang bakal
bertandang ke Stadium Darul Makmur, Kuantan, Sabtu ini pada pusingan kedua.
``Sekalipun Sabah sudah
diturunkan ke Perdana Dua, bukan bermakna mereka lemah atau boleh dipandang
ringan. Saya percaya, dengan lawan itu juga tiada laluan yang mudah bagi Pahang
untuk mencapai kemenangan,'' katanya.
Turut membimbangkan Yunus ialah
kemampuan pasukan seumpama Sabah ini melakukan kejutan apatah lagi sebagai
underdog, mereka pastinya akan berasa tidak kerugian apa-apa sekalipun tumpas.
``Sebagai underdog juga dan tanpa
sebarang tekanan, mereka tentu mahu mengambil peluang sekiranya ada kesempatan
untuk membenam pasukan pilihan. Inilah yang perlu kami waspada,'' kata beliau
ketika dihubungi di Kuantan.
Mengulas lanjut skuad Badak yang
mara ke pusingan kedua dengan membenam KL Malay Mail secara agregat 4-0, beliau
berkata: ``Saya yakin Pahang cukup memahami corak permainan beberapa pemain
yang pernah bersama kami satu ketika dulu.
``Misalnya Shahrin Majid dan
Khairul Azman Mohamad. Jika beberapa pemain senior Pahang masih mampu mengenal
pasti kekuatan dan kelemahan mereka berdua, Sabah pasti mampu dijinakkan,''
kata Yunus.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0320&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4bVA5QzRt
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan