ARKIB : 27/04/2001
KEYAKINAN terhadap barisan muda
Pahang tidak sedikit pun terpadam dari lubuk hati Ahmad Yunus Mohd. Aliff
sekalipun hakikat dua kekalahan berturut-turut dalam tempoh 10 hari memang
pahit untuk diterimanya, lapor ABDUL HAFIZ AHMAD.
Malah untuk menjulang bendera
putih kerana Tok Gajah sudah terdorong ke tangga ketujuh dari tangga kelima
liga bola sepak Perdana Satu tidak sesekali terlintas pada hati ketua jurulatih
ini.
Kesudahan seri yang ditagih
dengan menentang Pulau Pinang di Stadium Negeri, Batu Kawan, Selasa lalu,
berubah menjadi kalah 1-2 secara realiti tetapi Yunus telah lama menyimpannya
dalam lipatan sejarah.
``Kedudukan liga milik Pahang
kini bukanlah begitu teruk. Kami masih mampu mengejar dan memastikan tidak
tertinggal jauh. Banyak lagi perlawanan yang menunggu dan inilah yang perlu
kami manfaatkan,'' tegasnya.
Menurut Yunus yang dihubungi di
Kuantan, kebangkitan Pahang itu diyakini bakal dapat disaksikan oleh ribuan
peminatnya tatkala melayani kunjungan Melaka dan Johor di Stadium Darul Makmur
pada Sabtu dan Selasa depan.
Namun keyakinan itu juga
bukanlah bermakna Yunus memandang ringan dua pasukan terbawah Perdana Satu
tersebut kerana sebarang lawan yang menghadapi anak buahnya tetap dilayan
dengan penuh hormat.
Strategi yang tepat dan terancang
dalam masa dua hari ini perlu digubah segera demi mengembalikan semangat
barisan muda Tok Gajah yang satu ketika sempat mendahului liga sekalipun
mulanya tidak meraih tumpuan sehebat Selangor dan Perak.
Yunus dalam pada itu dijangka
mempertaruhkan sekali lagi aturan 4-4-2 yang cenderung agresif seperti
menghadapi Pulau Pinang lalu apabila menentang Melaka yang tetap dianggapnya
sebagai lawan yang sukar diramal.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0427&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4baUDePOH
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan