ARKIB : 06/01/2001
Setiausaha PBNP, Ahmad Fuad
Daud berkata, cara tersebut lebih berkesan daripada memanjangkan isu Azizul itu
dengan terus bertikam lidah di akhbar.
"Kalau betul Perak
berminat dengan khidmat Azizul, kami mempelawa kedua-dua pihak berjumpa terus
atau mengemukakan permohonan secara rasmi kepada PBNP.
"Mungkin dengan itu, kita
dapat mencari kata sepakat sekali gus menyelesaikan isu ini,'' kata Fuad di
Kuantan, semalam.
Menurutnya, sehingga hari ini
Penjaring Terbanyak Perdana Satu musim lalu itu dan PAFA sendiri tidak pernah
menghubungi PBNP mengenai isu tersebut sebaliknya beliau hanya mengetahui
sebarang perkembangan melalui akhbar.
Fuad menyatakan demikian
sebagai mengulas kenyataan pengurus pasukan Perak, Jamal Nasir Rasdi di Ipoh,
kelmarin, yang menyifatkan PBNP sebagai keterlaluan apabila mengenakan yuran
perpindahan RM100,000 ke bawah bagi mendapatkan khidmat Azizul.
Jamal yang juga Timbalan
Presiden PAFA, memberi alasan, yuran di bawah peraturan Persatuan Bola Sepak Malaysia
(FAM) itu masih belum dilaksanakan oleh mana-mana negeri.
"Belum tiba masanya yuran
perpindahan sebanyak itu dikenakan dan setakat ini tiada persatuan yang pernah
membayarnya. Bagaimanapun kami masih sedia berunding dengan Pahang berhubung
isu ini,'' kata beliau.
Kontroversi penghijrahan Azizul
timbul setelah bekas penyerang kebangsaan itu tidak menghadiri majlis
menandatangani kontrak dengan Pahang pada 18 Disember lalu bagi menghadapi Liga
Malaysia musim ini.
Beberapa hari menjelang
Aidilfitri, Azizul sendiri mengakui 'jodohnya' dengan Pahang sudah berakhir
ekoran masalah kewangan yang melanda PBNP terutama mengenai tunggakan gaji
hampir setengah tahun.
Bagaimanapun Naib Presiden I
PBNP, Datuk Jamal Nasir Ismail pada 25 Disember lalu berkata, Azizul hanya akan
dilepaskan kepada mana-mana negeri lain dengan yuran perpindahan kurang
daripada RM100,000.
Sementara itu, Fuad menambah,
sekiranya perbincangan tiga pihak dapat dilangsungkan, PBNP dijangka membawanya
sebagai agenda dalam satu mesyuarat khas secepat mungkin sejurus selepas itu.
"Hasil perbincangan
tersebut akan kita bawa ke mesyuarat PBNP yang dipengerusikan oleh Timbalan
Presiden sendiri, Tengku Abdul Rahman Sultan Shah. Keputusan mesyuarat inilah
bakal menjadi penentu nasib Azizul,'' katanya.
Menurut Fuad, PBNP sendiri
kalau boleh tidak berminat untuk memanjang-manjangkan isu yuran atau surat
pelepasan itu hanya kerana masing-masing berebutkan Azizul seorang.
Sementara itu, Azizul ketika
dimaklumkan mengenai isu tersebut, berkata, beliau akan memohon pelepasan rasmi
daripada PBNP dalam tempoh seminggu dua lagi.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0106&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4bIst4fge
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan