ARKIB : 24/12/2000
Pengurus Perak, Jamal Nasir
Rasdi berkata, Perak hanya akan berunding dengan bekas pemain kebangsaan itu
setelah segala kemelut antaranya dengan Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang
(PBNP) selesai.
"Buat masa ini kita minta
Azizul selesaikan dulu masalahnya dengan Pahang. Kemudian barulah dia boleh
datang ke Perak untuk berbincang mengenai perpindahannya ke pasukan ini,'' kata
Jamal Nasir, semalam.
Jamal Nasir mengulas mengenai
kontroversi membabitkan penyerang itu yang dikatakan mahu mengikat kontrak
dengan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) untuk kempen Liga Malaysia musim
depan.
Bagaimanapun, cadangan
penghijrahan Azizul tidak mendapat restu PBNP kerana pemain itu perlu
mendapatkan dahulu surat pelepasan daripada persatuan itu.
Dalam masa yang sama, PBNP pula
masih mahu menggunakan khidmat Azizul untuk kempen Liga Malaysia musim depan.
PBNP berkata, Azizul tidak
boleh mengikat kontrak dengan sebarang pasukan lain selagi tidak mendapat pelepasan.
Presiden PBNP, Tengku Abdullah
Sultan Ahmad Shah berkata, jika Azizul masih berkeras untuk meneruskan
penghijrahan, kontraknya dengan pasukan terbabit akan dianggap tidak sah.
Jamal Nasir mengakui, proses
penghijrahan pemain perlu dilakukan mengikut peraturan dan undang-undang yang
ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
"Kita perlu ikut peraturan
FAM. Kami di Perak meminta Azizul selesaikan masalahnya terlebih dahulu kerana
kami tidak mahu persatuan kami terbabit dalam masalah ini,'' katanya.
Kontrak Azizul dengan Pahang
akan berakhir 31 Disember ini. Kelmarin, pemain itu membayangkan jodohnya
dengan Pahang yang diwakilinya sejak 1994, akan berakhir kerana PBNP menawarkan
gaji yang rendah kepadanya untuk kempen musim ini.
PBNP dikatakan menghadapi
masalah kewangan yang membabitkan gaji semua pemain.
Begitu pun, Jamal Nasir tidak
mengulas mengenai syor PBNP kelmarin menerusi Naib Presiden 1, Datuk Jamal
Nasir Ismail yang berkata, Perak perlu membayar sejumlah wang yuran perpindahan
kepada Pahang untuk mendapatkan pemain itu.
Jamal Nasir berkata, PBNP belum
tentukan berapa bayaran perpindahan itu tetapi membayangkan sekurang-kurangnya
RM250,000.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1224&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4bEA9kCAx
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan