ARKIB : 26/12/2000
Katanya, yuran perpindahan
sebanyak RM250,000 terhadap Perak dalam mendapatkan khidmat Azizul Kamaluddin
seperti yang dilaporkan baru-baru ini ialah had maksimum yang telah termaktub
dalam peraturan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
"Ia tidak sampai
RM250,000. Kita bukan seperti kelab Eropah. Yuran yang PBNP fikirkan wajar bagi
Azizul pun kurang daripada RM100,000,'' kata Jamal.
Beliau memberitahu, penetapan
yuran oleh PBNP itu turut mengambil kira tempoh pengalaman pemain terbabit dan
sejauh mana sumbangannya sejak mewakili Pahang.
"PBNP tidak berniat mahu
membuat tuntutan yang tidak munasabah atau sengaja mencipta halangan buat
Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) sebaliknya sekadar melaksanakan apa yang FAM
tetapkan.
"Semua persatuan negeri
telah maklum tentang peraturan yuran perpindahan ini. Ia tetapkan oleh FAM
kerana banyak negeri selepas pemainnya berhijrah, tidak mendapat apa-apa
sedangkan telah banyak bersusah payah memajukan kariernya dari peringkat
awal,'' kata Jamal.
Jumaat lalu, beliau dipetik
sebagai berkata, Perak perlu membayar sejumlah yuran perpindahan kepada PBNP
bagi mendapatkan khidmat Azizul yang enggan menerima tawaran gaji lebih rendah
bagi menghadapi Liga Malaysia musim depan.
Sehari sebelumnya, penjaring
terbanyak Perdana Satu 2000 yang mewakili Pahang sejak 1994 itu memberitahu
Sukan Utusan, 'jodohnya' dengan skuad Tok Gajah sudah berakhir ekoran masalah
kewangan yang meruncing melanda PBNP.
Jamal yang dihubungi Sukan
Utusan semalam, menambah, banyak pihak tidak sedar bahawa Pahang sendiri pernah
mengeluarkan sejumlah wang ketika mahu mendapatkan khidmat penyerang Wan
Rohaimi Ismail dari Kelantan, dua tahun lalu.
"Ketika itu peraturan
yuran perpindahan belum wujud lagi tetapi ia lebih berupa imbuhan PBNP untuk
Kelantan untuk membawa Rohaimi menyertai Pahang,'' katanya.
Beliau berkata, kadar yuran
tersebut yang dikenakan bagi khidmat Azizul itu bagaimanapun bukanlah muktamad
dan ia masih lagi boleh dirunding antara PBNP dengan PAFA.
"Sudah tentu kita sedia
berbincang dengan persatuan terbabit. Namun jika kedua belah pihak tidak
mencapai kata sepakat mengenainya, terpaksalah kita rujuk kepada Lembaga Status
Pemain FAM untuk keputusan muktamad,'' katanya.
Sementara itu Jamal mengesahkan
Pahang kini sudah bebas daripada belenggu tanggungan gaji tertunggak semua
pemain sepanjang Liga Malaysia musim ini.
"Kita mengeluarkan
RM450,000 untuk melunaskan tunggakan tersebut hasil sumbangan kerajaan negeri
dan menerusi geran tahunan daripada FAM,'' katanya.
Menurutnya, tunggakan tersebut
meliputi gaji penuh pemain bagi bulan Julai, Ogos dan September serta gaji luar
musim dari Oktober hingga bulan ini.
"Cuma bonus dan insentif
kemenangan akan dilunaskan selepas Aidilfitri,'' katanya sambil menambah,
kesemua bayaran telah dimasukkan ke akaun bank pemain pada Sabtu lalu.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1226&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4bHtMgfa6
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan