ARKIB : 31/01/2001
GANDINGAN `kembar A' _ Azizul
Kamaluddin dan Azmani Abdul Kadir bakal menjadi pertaruhan jentera serangan
Pahang apabila menghadapi persaingan bola sepak Liga Malaysia, Mac ini.
Sekalipun baru berusia kurang
sebulan hasil sesi latihan pramusim, gandingan Azizul-Azmani sudah mula
menampakkan petanda meyakinkan untuk terus diberi kepercayaan oleh ketua
jurulatih Yunus Alif.
Malah Azizul pasti menarik
nafas lega dengan kemampuan pantas kembarnya itu untuk mengisi kekosongan
penyerang kedua Pahang ekoran pemergian Wan Rohaimi Ismail dan Shahrin Majid ke
Terengganu dan Kuala Lumpur.
Keserasian gandingan mereka
terbukti berjaya membawa skuad Liga Malaysia Pahang menang tipis 4-3 ke atas
pasukan Piala Emas Raja-Raja di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada Sabtu lalu.
Azizul merupakan pemenang
bersama Kasut Emas Perdana Satu musim lalu bersama Shahrin manakala Azmani
ialah antara tonggak juara Sukan Malaysia (Sukma) pada temasya di Pulau Pinang
itu, tahun lalu.
Ketika dihubungi Sukan Utusan
di Kuantan, semalam, Yunus turut memberikan penilaian yang terpuji terhadap
gandingan Azizul-Azmani walaupun anak buahnya baru menjalani latihan pramusim
sejak 8 Januari lalu.
Yunus sebelum ini pernah
membayangkan hasrat untuk mengalih posisi tetap Ahmad Shaharuddin Rosdi dari
bahagian tengah sebagai penyerang kembar Azizul dalam formasi baru Pahang,
4-4-2.
Bagaimanapun Shaharuddin belum
dapat diuji dengan peranan barunya itu kerana sedang mengikuti latihan
persiapan skuad kebangsaan di Kelana Jaya, Selangor bagi menghadapi pusingan
kelayakan Piala Dunia, Mac ini.
``Bunga-bunga gandingan mereka
sudah ada. Azizul berjaya memenuhi kehendak saya dengan peranan barunya sebagai
pembuka ruang dan penarik perhatian lawan walaupun tidak menyumbat gol,'' kata
Yunus.
Menurutnya, kemampuan Azizul
membuka ruang itu turut mendorong Azmani memanfaatkan kelekaan barisan benteng
lawan untuk menggegar gawang seperti aksinya pada perlawanan persahabatan itu,
Sabtu lalu.
Selain jaringan Azmani, Tok
Gajah memperoleh tiga lagi golnya masing-masing menerusi Azaruddin Aziz,
Iskandar Zulkarnain dan Mohd. Al-Rafaie Ali.
Mengenai lawan yang sepatutnya
ditentang Sabtu lalu, Arab Malaysian Bank, jelas beliau: ``Pasukan itu meminta
perlawanan ditangguhkan kerana ramai pemainnya masih belum habis bercuti
sempena perayaan Tahun Baru Cina.''
Begitupun Yunus tidak rela
dirinya dibuai dengan kejayaan awal pasukan bimbingannya apatah lagi cuma
selepas satu perlawanan persahabatan dengan pasukan senegeri.
Beliau turut mengakui anak
buahnya agak perit untuk memenangi perlawanan tersebut tetapi bingkas
menegaskan bahawa keputusan tipis itu tidak boleh dijadikan kayu pengukur
kemampuan sebenar Pahang musim ini.
``Lagipun saya cuma menggunakan
kesebelasan utama bayangan pada separuh masa pertama dan menampilkan sebahagian
besar tonggak Liga Simpanan dan pemain skuad Sukma dalam babak berikutnya.
``Kesemua pemain yang diberi
peluang beraksi masih lagi di peringkat ujian, justeru tidak wajarlah jika
dikatakan kemenangan 4-3 ini memberi gambaran sebenar pasukan Pahang,'' kata
beliau.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0131&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4bNRA538Z
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan