ARKIB : 26/07/2000
PAHANG melengkapkan persaingan
bola sepak Liga Perdana Satu di gelanggang sendiri dengan catatan kejayaan
apabila membenam Negeri Sembilan 3-1, semalam.
Gol-gol sumbangan Shahrin
Majid, Azizul Kamaluddin dan Anuar Jusoh ternyata berjaya menunaikan misi jurulatih
Fuzzeimi Ibrahim untuk memelihara reputasi tuan rumah di Stadium Darul Makmur,
Kuantan.
Tanda-tanda awal amukan Tok
Gajah terpapar sebaik sahaja permainan berusia kira-kira lima minit.
Minit kesembilan menyaksikan
penyerang tuan rumah, Azizul Kamaluddin nyaris menembusi gawang Negeri
Sembilan, sayangnya sepakan rendah kaki kirinya tersasar sedikit dari tiang
gol.
Cubaan solo dari Anuar Jusoh
yang muncul dua minit kemudian sekadar melewati palang biarpun berada pada
posisi terbaik untuk menumpaskan penjaga gol Negeri Sembilan, Mohd. Hamsani
Ahmad.
Pada minit ke-22, Anuar
bagaimanapun menghidu ruang kosong di tengah kotak penalti untuk membuka laluan
gol sulung tuan rumah.
Umpanannya ke kawasan itu nyata
bersambut di kaki Shahrin Majid sekali gus menghampakan Hamsani.
Azizul yang kerap kempunan
dalam beberapa percubaan di babak pertama dan kedua akhirnya melepaskan geram
untuk mencipta gol kedua Pahang.
Tepat minit ke-74 gara-gara
sepakan gol Hamsani yang kurang kemas kepada rakan sepasukan, Azizul bingkas
mencuri bola sebelum menceroboh kubu Negeri Sembilan. Dengan larian solo
derasnya, Azizul meledakkan sepakan kaki kanan untuk memimpin Pahang mendahului
2-0.
Tanpa berasa selesa dengan
kelebihan dua gol, tuan rumah terus meraih gol ketiga pula dan ia terhasil
menerusi gerakan solo Anuar pada minit ke-78.
Namun, dalam keghairahan Tok
Gajah memburu gol tambahan, pasukan pelawat sempat merapatkan kedudukan 1-3
menerusi jaringan bekas penyerang negara, Azman Adnan seminit sebelum tamat
perlawanan.
Sementara itu di Stadium Likas,
Kota Kinabalu, Sabah menghidupkan peluang di saat akhir untuk kekal dalam
Perdana Satu musim depan dengan kejayaan mengatasi Johor 3-1.
Pasukan tuan rumah memperoleh
jaringan pembukaan menerusi Rezuan Aman Khan pada minit keenam dan kedudukan
1-0 kekal sehingga tamat babak pertama.
Fareed Shah Hassan menggandakan
jaringan buat Sabah sebaik babak kedua bermula seminit untuk menjadikan
kedudukan 2-0.
Bagaimanapun, Johor bangkit
kemudian dan Rezal Zamberi Yahya merapatkan kedudukan pada minit ke-67.
Fareed sekali lagi menggegarkan
gawang Johor pada minit ke-80 untuk Sabah mencatat kemenangan keempat mereka.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0726&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4aYYmFGLs
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan