ARKIB : 21/01/2001
Ketua jurulatih, Yunus Alif
berkata, cadangan untuk menukar posisi tetap Shaharuddin dari bahagian tengah
ialah sebagai salah satu usaha untuk memperkasa semula jentera serangan Tok
Gajah.
"Saya mungkin mencuba
Shaharuddin sebagai penyerang untuk digandingkan dengan Azizul,'' kata Yunus
ketika dihubungi Sukan Utusan selepas mengendalikan sesi latihan pramusim
minggu kedua Pahang di Kuantan, semalam.
Menurutnya, perubahan peranan
Shaharuddin itu bagaimanapun masih di peringkat cadangan apatah lagi dia masih
belum diuji dalam sesi latihan Pahang kerana menyertai persiapan skuad negara
menghadapi kelayakan Piala Dunia, Mac ini.
"Keserasian Shaharuddin
dengan peranan barunya itu akan dapat kita tentukan apabila dia menyertai
latihan Pahang sekembalinya daripada tugasan negara di Qatar dan Hong Kong
itu,'' kata beliau.
Shaharuddin bersama dua lagi
pemain Pahang, Mohd. Ali Tahar dan Hairul Nizam Hanif kini menjalani latihan
skuad kebangsaan dan Bawah 23 Tahun di bawah bimbingan jurulatih baru negara,
Allan J. Harris.
Skuad Bawah 23 Tahun negara pula
akan menghadapi Sukan SEA XXI di Kuala Lumpur pada September depan.
Mereka bertiga merupakan antara
10 pemain musim lalu yang masih menjadi sandaran Tok Gajah sekalipun terpaksa
menerima tawaran gaji lebih rendah akibat kegawatan tabungan Persatuan Bola
Sepak Negeri Pahang (PBNP).
Selain menjadi tonggak jentera
tengah yang membantu skuad negara menduduki tempat ketiga Piala Tiger di
Thailand, November lalu, Shaharuddin turut mampu menggegar gawang menerusi
sepakan percuma.
Kehadirannya sebagai penyerang
juga merupakan jawapan tepat buat percaturan Yunus yang mahu menampilkan
formasi 4- 4-2 pada skuad Tok Gajah kali ini berbanding 4-3-3 seperti amalan jurulatih
musim lalu, Fuzzeimi Ibrahim.
Pahang kini cuma berharapkan
sentuhan dua penyerang dalam tempoh 90 minit permainan setelah menggugurkan
tiga pemain luar di posisi itu musim lalu seperti Wan Rohaimi Ismail, Wan Ahmad
Ridzuan Hussin dan Shahrin Majid.
Sentuhan serampang tiga musim
lalu cuma menghadiahkan Kasut Emas kepada Shahrin dan Azizul selaku penjaring
terbanyak Perdana Satu tetapi gagal membawa Tok Gajah mara ke suku akhir Piala
Malaysia selain terdaya di tangga ketujuh liga.
Selain Shaharuddin, Yunus
berkata, dia juga masih mengkaji kemampuan tiga lagi muka baru musim ini yang
mampu bertindak sebagai penyerang atau gandingan baru Azizul.
"Mereka terdiri daripada
Ahmad Wahid, Mohd. Azmani Abdul Kadir dan Iskandar Zulkarnain yang boleh
bertindak sebagai penyerang bantuan atau perantara,'' katanya.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0121&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4bMb7eXzD
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan