ARKIB : 04/07/2002
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
ENAM peluang terbaik Pahang untuk
menembusi gol Selangor dan menggapai tiga mata begitu mudah terlepas hanya kerana
tuah enggan menemani tuan rumah dalam perlawanan bola sepak Perdana Satu,
kelmarin.
Tiga cubaan Viatcheslav Melnikov
selain masing-masing satu daripada Ahmad Shaharuddin Rosdi, Shahrulnizam Sahat
dan Azmani Abdul Kadir ternyata tumpul untuk merubah keputusan 1-1 di Stadium
Darul Makmur, Kuantan itu.
Ketua jurulatih Tok Gajah, Ahmad
Yunus Mohd. Aliff berkata, Melnikov terutamanya sentiasa dirundung malang
selain terjejas akibat kecederaan lama buku lalinya sehingga gagal menyudahi
sepakan penalti pada minit ke-31.
``Dengan sekian banyak peluang
Pahang, nasib masih tidak menyebelahi kami,'' katanya yang kali ini
menggandingkan penyerang dari Rusia itu dengan Azmani Abdul Kadir dan
menurunkan Azizul Kamaluddin di tengah.
Turut diubah posisi ialah
Jalaluddin Jaafar yang sebelum ini bermain di posisi perantara kanan tetapi
kelmarin melakukan tugas barunya sebagai benteng kanan.
``Apa pun komitmen pemain kami
dan peningkatan itu tampak menyerlah. Benteng kami yang kehilangan Ambassa Guy
Gerard juga tetap utuh walaupun ketinggalan pada mulanya,'' katanya.
Menurut Ahmad Yunus, ketiadaan
benteng import dari Cameroon itu setelah dikeluarkan kerana tercedera pada
pinggangnya berjaya ditampung dengan baik oleh Hairul Nizam Haniff.
Katanya, beberapa pemain lain
turut tercedera yang sekali gus mungkin menjejaskan sedikit perancangan pasukan
menjelang persaingan Piala Malaysia pada 27 Julai ini.
``Selepas ini kita hanya akan
menentang Perak dalam perlawanan terakhir liga. Saya tak mahu ambil risiko
sekiranya mereka tercedera kerana pemulihan perlu masa yang panjang,''
jelasnya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0704&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4cDZrOlAa
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan