ARKIB : 04/02/2001
DENGAN terhadnya aksi tonggak
veteran Muadzar Mohamad dan Azhar Kamaluddin dalam sesi latihan pramusim bola
sepak Liga Malaysia, peranan ketua pasukan Pahang ketika ini tampak lebih
terarah kepada Azaruddin Aziz.
Azaruddin mendapat laluan mudah
untuk menyarung lilit lengan Pahang itu ekoran kecederaan lutut Muadzar di
samping kecergasan Azhar yang masih di tahap minimum sepanjang sesi latihan
yang sudah hampir sebulan.
Azaruddin dijangka meneruskan
tugas ketua pasukan seperti musim lalu, atas ciri-ciri kesetiaannya kepada
Pahang serta bakat kepimpinan yang disegani rakan sepasukan.
Tanda-tanda peranan itu mampu
menyebelahi Azaruddin kian terserlah dengan pelantikannya sebagai ketua pasukan
ketika menghadapi skuad Piala Emas Raja-Raja senegeri dalam perlawanan
persahabatan, minggu lalu.
Ketua jurulatih, Yunus Alif
berkata: ``Buat masa ini, Azaruddin menjadi calon terdekat untuk memegang
peranan kapten. Dia tampak meyakinkan saya ketika perlawanan persahabatan itu.
``Mulanya saya turut menimbangkan
beberapa pemain veteran lain termasuk Muadzar sendiri tetapi apabila penjaga
gol itu tercedera, nampak gayanya Azaruddin lebih berhak menjadi ketua
pasukan,'' katanya di Kuantan, semalam.
Muadzar yang juga bekas pemain
kebangsaan, tercedera di lututnya ketika diturunkan selama 20 minit pada separuh
masa kedua perlawanan di Stadium Darul Makmur, Kuantan yang berkesudahan anak
didik Yunus menang 4-3.
Dia bagaimanapun kian pulih
selepas menerima rawatan di sebuah hospital pakar di Subang Jaya, Selangor
tetapi memerlukan rehat sekurang-kurangnya dalam tempoh seminggu.
Aksi Muadzar musim lalu juga
begitu terhad akibat kecederaan kaki. Pahang menjelang Liga M musim ini
bagaimanapun masih mempunyai seorang lagi penjaga gol, Irewan Sulaiman yang
diserapkan daripada skuad Liga Simpanan.
Mengenai keadaan benteng senior,
Azhar Kamaluddin, Yunus berkata, abang Azizul itu cuma mengalami kekejangan
otot kerana terpaksa bersaing dengan ramai pemain yang lebih muda kali ini
dalam sesi latihan.
``Dia cuma kejang apabila
terpaksa bekerja keras untuk menyaingi kepantasan pelatih pasukan yang lebih
muda daripadanya,'' kata Yunus.
Sementara itu, Yunus tanpa
berlengah turut menyediakan ujian kedua buat anak buahnya dengan memilih
pasukan Perdana Dua, Telekom Melaka sebagai lawan persahabatan di Stadium Darul
Makmur, Selasa ini.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0204&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4bNzowqeF
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan