ARKIB : 12/06/2003
PEMAIN Pahang digesa
mempertingkatkan mutu permainan mereka bagi memastikan pasukan bola sepak
negeri ini tidak tercicir daripada persaingan liga yang kini telah pun masuk
pusingan ke dua, lapor AIZAWATI AHMAD.
Presiden Persatuan Bola Sepak
Pahang (PBNP), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, para pemain
seharusnya memberi tumpuan 100 peratus kepada permainan dan perlu rajin
berusaha bagi memastikan kemenangan menjadi milik Pahang pada baki lapan
perlawanan akan datang.
``Saya tidak mahu sikap malas terus
dipupuk dalam diri pemain, tahun ini saya perhatikan persembahan Pahang
kelihatan terumbang-ambing dan seperti yo-yo,'' katanya selepas selepas majlis
makan tengah hari bersama PBNP di Kuantan, semalam.
Menurut Tengku Abdullah, para
pemain perlu pertingkatkan lagi mutu permainan bagi memastikan Pahang kekal
berada pada kedudukan tiga pasukan teratas liga.
Tengku Abdullah memberitahu, bagi
memastikan prestasi sentiasa berada pada tahap yang baik, para pemain juga
diminta turun ke padang lebih awal daripada waktu latihan sebenar.
``Mereka seharusnya mencontohi
pemain-pemain lama yang rajin turun ke padang lebih awal kerana sebagai pemain
bola sepak mereka perlu ada kemahiran dan stamina yang tinggi untuk bersaing,''
ujarnya.
Beliau menegaskan, para pemain
sepatutnya tidak perlu lagi diberi tunjuk ajar mengenai asas permainan bola
sepak kerana pada ketika ini kemahiran teknikal yang seharusnya diberi tumpuan.
Tambahnya, para pemain khususnya
pemain muda perlu segera perbaiki kelemahan yang ada bagi memastikan Pahang
tidak pincang apabila enam pemain negeri ini menyarung jersi pasukan
kebangsaan.
``Sekurang-kurangnya kita masih
ada pilihan untuk menyerapkan pemain-pemain yang selama ini berada dibangku
simpanan ke barisan utama skuad Pahang sepanjang ketiadaan enam pemain ini,''
jelasnya lagi.
Sementara itu, jurulatih Pahang,
Ralf Borges Ferreira memberi jaminan pasukan negeri ini akan berada
sekurang-kurang pada kedudukan enam pasukan terbaik.
``Saya harap para pemain diberi peluang
kerana pasukan Pahang merupakan sebuah pasukan baru yang rata-ratanya dibarisi
oleh pemain muda,'' katanya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai
cadangan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengadakan liga kebangsaan, Tengku
Abdullah yang juga Timbalan Presiden FAM memberitahu, kejohanan tersebut
dijangka bakal diadakan pada tahun ini dengan penyertaan pelbagai kelab bola
sepak tempatan.
Menurutnya, buat masa ini, liga
tersebut mungkin akan dimulakan di Kuala Lumpur dan Shah Alam terlebih dahulu
berikutan kemudahan yang ada di sana sudah lengkap.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0612&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4cygmdBy3
© Utusan Melayu (M) Bhd