ARKIB : 22/04/1999
NAMPAKNYA sentuhan jurulatih
Pahang, Fuzzeimi Ibrahim hanya menjadi di Stadium Darulmakmur dan jika keadaan
itu berterusan, skuad Tok Gajah pastinya akan digelar sebagai 'jaguh kampung.'
Walaupun pelbagai perubahan
taktik digunakan ketika bertandang ke gelanggang lawan, Pahang tetap kecundang
dan setakat ini pasukan itu hanya mencatatkan keputusan memberangsangkan ketika
menentang jiran mereka, Terengganu.
Contoh ketara semasa bertemu
Pulau Pinang. Setelah gagal dengan taktik bertahan dalam beberapa perlawanan
sebelum ini, Pahang mengasak Pulau Pinang seawal wisel permulaan tetapi
padahnya penyerang sensasi Pulau Mutiara, Azman Adnan berjaya melengkapkan
hatrik dalam masa yang singkat untuk kemenangan 3-1.
Senario inilah membimbangkan
pengurus pasukan, Talib Sulaiman yang turut buntu memikirkan punca kepada nasib
malang yang sering melanda skuad itu ketika di gelanggang lawan.
Talib turut mengaku kesilapan
percaturan menyebabkan pasukan itu tidak dapat mengekalkan rentak permainan
mereka sebaliknya terpaksa menerima asakan lawan yang berterusan.
''Kita silap kerana tidak
memberi kawalan ketat terhadap Azman ketika menentang Pulau Pinang, itulah
punca kepada tiga gol berturut-turut dijaringkan pemain itu.
''Bagaimanapun setelah kita
mengarahkan Shahrul Nizam Sahat merantai Azman keadaan mulai berubah dan Pahang
mula menemui rentak tetapi agak terlambat,'' jelasnya.
Mengulas perlawanan malam
semalam, Talib berkata, pada separuh masa pertama Pahang bermula dengan agak
perlahan menyebabkan banyak ruang terbuka kepada Selangor untuk mencipta
peluang.
Pahang, katanya, terus diasak
dan kelalaian benteng pertahanan membolehkan pasukan Merah Kuning memperoleh
gol pendahuluan melalui Rusdi Suparman.
Bagaimanapun, ujarnya, pada
separuh masa kedua kesebelasan pemain Pahang diarahkan melancarkan gerakan yang
pantas sehingga menyebabkan pertahanan Selangor terus tersungkur membolehkan
Pahang mengutip mata penuh dengan kemenangan 3-1.
Sementara itu Fuzzeimi
menafikan beliau menurunkan penjaga gol utama, Mudzar Mohamad yang masih cedera
kerana tidak berpuas hati dengan persembahan Zuraimi Hassan.
Menurutnya, kedua-dua penjaga
gol itu mempunyai kemampuan yang sama dan beliau mencuba untuk memberi peluang
yang sama kepada kedua-dua pemain berkenaan.
''Saya tidak menyalahkan
Zuraimi ketika Pahang kecundang kepada Pulau Pinang kerana padang semasa itu
agak basah dan asakan lawan bertali arus dan mungkin juga jika Zuraimi
diturunkan, Selangor tidak langsung berpeluang untuk menjaringkan gol,''
katanya.
Tambahnya, Zuraimi berlatih
dengan rajin dan cukup berkemampuan, tetapi beliau menurunkan Mudzar setelah
pemain itu cukup cergas semasa sesi latihan dijalankan
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0422&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4ReQgoPso
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan