ARKIB : 03/06/1999
PERSATUAN Bola Sepak Negeri Pahang
(PBNP) menyalahkan sikap pemainnya yang kurang profesional sehingga menyebabkan
pasukan itu tewas dalam tiga perlawanan berturut-turut kepada Negeri Sembilan,
lapor YUSWANDI MAJID.
Skuad Tok Gajah tewas secara
agregat 1-6 (1-3 di Kuantan, kelmarin dan 0-3 di Seremban) pada suku akhir
Piala FA selain kalah 0-4 dalam Liga Perdana Satu.
Naib Presiden I PBNP, Datuk
Jamal Nasir Ismail berkata, kekalahan tiga kali berturut-turut kepada pasukan
yang sama, menggambarkan mentaliti pemain yang masih rendah dalam menghadapi
setiap perlawanan.
''Selepas tewas pertama, para
pemain seharusnya sudah dapat membaca pergerakan lawan tetapi mereka gagal dan
tewas dua kali lagi selepas itu,'' katanya ketika ditemui selepas majlis angkat
sumpah ahli mesyuarat kerajaan negeri di Istana Abu Bakar, Pekan semalam.
Jamal berkata, para pemain
tidak boleh menyalahkan pihak pengurusan kerana kekalahan yang dialami adalah
dengan pasukan yang sama dan dengan jaringan yang besar.
''Jangan salahkan pihak
pengurusan dengan prestasi sedemikian kerana kekalahan seperti itu tidak boleh
diterima dan ini berkaitan dengan sikap pemain sendiri,'' katanya.
Beliau berkata, rentetan
kekalahan yang dialami itu menunjukkan para pemain tidak belajar daripada
kesilapan dan ini menunjukkan mereka kurang profesional.
Katanya, kekalahan pertama
kepada Negeri Sembilan dengan jaringan 0-3 dalam pusingan pertama pusingan suku
akhir, seharusnya menjadi pengajaran kepada skuad Pahang.
''Namun mereka gagal membaca
gerakan lawan dan tewas sekali lagi dengan 0-4 dalam perlawanan Liga Perdana
dan sekali lagi malam semalam,'' katanya.
Beliau berkata, prestasi pemain
juga tidak meningkat berbanding pasukan lain dan mereka seolah-olah sudah
sampai ke kemuncak prestasi setelah menghuni takhta Liga Perdana.
''Dengan prestasi seperti itu,
saya tidak terkejut sekiranya Pahang akan dipintas oleh pasukan lain dalam
persaingan seterusnya,'' katanya.
Jamal berkata, dalam perlawanan
bola sepak, aspek stamina dan skil bukanlah segala-galanya kerana aspek lain
seperti mentaliti yang betul dan kerjasama berpasukan juga penting.
Beliau berkata, bagaimanapun,
ada kalangan para pemain yang mempunyai sikap yang betul ketika perlawanan dan
sentiasa bermain bersungguh-sungguh antaranya Azizul Kamaluddin dan Wan Rohaimi
Ismail.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0603&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4RpmplWhG
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan