ARKIB : 04/10/1999
BUAT pasukan lain, Piala
Malaysia dan Liga Perdana mungkin berbeza tetapi Pahang pantas membuktikan
andaian itu jauh meleset dengan terus menerajui kumpulan B selepas tiga
perlawanan, lapor ABDUL HAFIZ AHMAD.
Meyakinkan dan memanjang,
demikian langkah juara Perdana Satu ini dan kejayaan tipis 1-0 di Brunei mengesahkan
hakikat itu.
Rekod tanpa kalah Tok Gajah
masih utuh malah persembahan konsisten turut terpapar pada jumlah jaringan
setakat ini dan kadar bolosannya masih di tahap rendah.
Sebaliknya adegan yang tidak
diingini menyebelahi jiran kumpulan, juara Piala FA, Kuala Lumpur dan
penyandang Perdana Dua, Johor.
Ketika Tok Gajah kian mara
dengan langkah tepat seorang juara, Helang ibu kota semakin parah mengusung
luka akibat malang yang bertimpa-timpa.
Barisan warga kota masih
kempunan untuk menikmati sebarang mata lalu kemarau kemenangan itu terasa
seakan berpanjangan untuk diakhirinya.
Anak buah Mat Zan Mat Aris ini
mensia-siakan kelebihan seorang pemain untuk sekurang-kurangnya pulang dengan
satu mata terutama bagi tempoh 12 minit terakhir.
Namun sedikit tuah turut
memainkan peranan kelmarin apabila cuma rembatan jarak jauh Ramos Sari mampu
mencairkan kekebalan benteng lima pemain Kuala Lumpur.
Dengan menduduki tangga kedua
tercorot kumpulan, nasib Johor tidak jauh bezanya biarpun wujud tentangan
habis-habisan Jengking sebelum mengizinkan kemenangan sulung Sabah 3-2.
Sementara itu, peranan teraju
kumpulan A berpindah tuan akibat pemulihan serta-merta Terengganu dan dibantu
dengan kejatuhan Selangor di Shah Alam, kelmarin.
Biarpun meraih mata penuh
dengan gol tunggal Mohd. Noor Derus ke atas Perak, skuad Penyu ternyata
menunjukkan petanda pemulihan sesudah diratah 1-5 oleh Pulau Pinang, Selasa
lalu.
Bagi Selangor, kecundang kepada
pasukan tetangga, Negeri Sembilan 1-2 sesungguhnya pedih untuk ditanggung
terutama apabila penyokong Red Giant sudah mulai terpujuk untuk bertandang ke
Stadium Shah Alam.
Sejumlah peluang keemasan
disia-sia sebaliknya kelekaan minit terakhir menghukum Selangor sekali gus akur
untuk menghadiahkan kemenangan sulung Negeri.
Menerusi jaringan kemenangan,
penyerang Azmi Mohamed ternyata melenyapkan keraguan ramai peminat skuad Rusa
yang timbul sejak prestasi hambar pasukan itu di Seremban ketika menentang
Perlis, Selasa lalu.
Naib juara Perdana Satu, Pulau
Pinang dilanda prestasi yo-yo dan keadaan itu ketara apabila bertandang ke
Perlis biarpun Selasa lalu, mencipta rekod jaringan terbesar Piala Malaysia
musim ini.
Sesuatu yang pahit untuk
ditelan Pulau Pinang jika kecundang dalam 90 minit kepada pasukan bertaraf
keempat Perdana Dua malah sekadar layak ke Piala Malaysia menerusi play-off.
Mujur sentuhan emas Azman Adnan
menjadi penyelamat Harimau Kumbang walaupun akhirnya tewas akibat penentuan
penalti 6-7 dan kehilangan dua mata.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1004&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4SOVcJMA9
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan