ARKIB : 12/05/1999
PAHANG memintas Pulau Pinang
untuk merampas takhta bola sepak Liga Perdana Satu selepas menewaskan Perak 2-1
dalam perlawanan atas padang lembap di Stadium Perak, Ipoh semalam.
Azizul Kamaludin muncul wira
dengan jaringan kemenangan pada minit ke-90. Dia juga turut menjaringkan gol
penyamaan pada minit ke-74 selepas Perak mendahului menerusi jaringan M.
Nagarajah pada minit ke-63.
Kemenangan itu jelas memisahkan
ibarat langit dan bumi antara Pahang yang berada di puncak liga manakala Perak
tersungkur di tangga tercorot.
Perak yang memulakan babak
pertama patut menyalahkan diri sendiri apabila beberapa peluang gagal
disempurnakan.
Azrul Amri Burhan dua kali
berpeluang menjaringkan gol tetapi sepakannya pada minit ke-13 hanya melintang
di depan pintu gol, Manakala sepakannya ketika hanya berdepan dengan Muadzar
pada minit ke-26 sempat ditepis keluar.
Pahang menerusi Wan Rohaimi
juga gagal menyempurnakan peluang yang serupa ketika hanya berdepan dengan
Murugan pada minit ke-30.
Perak turut bernasib baik
apabila dua jaringan Wan Rohaimi pada minit ke-33 dan 36 dibatalkan pengadil
kerana ofsaid.
Separuh masa kedua menyaksikan
Perak menggandakan asakan dan Azrul sekali lagi mempunyai ruang menjaringkan
gol tetapi sepakannya dari jarak 30 meter terkena palang.
Dalam keadaan terdesak itu,
Nagaraja tiba-tiba memecah kebuntuan dengan jaringan cantik menerusi tandukan
hasil hantaran lintang Lim Seng Kong pada minit ke-63.
Tidak cukup dengan gol itu,
Nagaraja sekali lagi berpeluang menjaringkan gol tetapi beliau gagal mengawal
bola untuk menyempurnakan hantaran cantik Domi Che Non di depan pintu gol
Pahang pada minit ke-68.
Bagaimanapun kealpaan barisan
pertahanan Perak pada minit ke-74 memberi ruang kepada Jalaludin Jaafar membuat
hantaran lintang yang kemudiannya disempurnakan dengan tandukan oleh Azizul
untuk menyamakan kedudukan.
Gol itu menaikkan semangat
Pahang dan 10 minit terakhir digunakan sebaiknya untuk mengasak dan akhirnya
gol kemenangan datang di minit terakhir permainan menerusi gerakan solo Azizul.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0512&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4Rkx4HbZM
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan