ARKIB : 13/04/2000
Pahang masih belum mengaku
kalah
PENJAGA gol Terengganu, Zubir
Ibrahim menghalang pemain Pahang, Wan Rohaimi Ismail daripada menendang bola
pada perlawanan bola sepak Piala FA di Kuantan, kelmarin. Terengganu menang
3-0.
DI ATAS kertas, mendahului 3-0
sudah dikira cukup selesa, tetapi bagi jurulatih Terengganu, Yunus Aliff,
ungkapan apa saja kemungkinan boleh berlaku dalam bola sepak, masih lagi
menjadi pegangannya, lapor ABDUL HAFIZ AHMAD.
Justeru Yunus secara merendah diri
menganggap, Pahang masih turut mempunyai peluang seimbang untuk berbuat sesuatu
dalam baki 90 minit pada suku akhir kedua Piala FA di Kuala Terengganu, 25
April ini.
''Pengalaman saya sebagai
pemain dan jurulatih cukup mematangkan saya untuk menolak daripada berasa
terlalu yakin dan selesa,'' kata Yunus.
''Saya sentiasa ingatkan pemain
supaya jangan leka kerana itu hanya akan mengundang padah dalam apa jua
perlawanan,'' katanya lagi.
Yunus mengulas persembahan
pasukannya yang juga naib juara Piala FA tahun lalu pada perlawanan suku akhir
pertama di Stadium Darul Makmur, Kuantan, kelmarin.
Menurutnya, skuad Penyu juga
sentiasa ditekankan agar terus mengamalkan corak menyerang sekalipun sudah
mendahului lawan dengan satu atau dua gol.
''Ini (suku akhir pertama) cuma
sebagai permulaan. Apa pun dengan modal 3-0 ini, Terengganu tidak sesekali akan
mengamalkan corak bertahan pada suku akhir kedua di Stadium Sultan Ismail
Nasiruddin Shah,'' katanya.
Yunus menyifatkan kemenangan
anak buahnya itu mungkin kerana pemain sudah mengerti mereka tidak perlu
bermain di bawah tekanan sebaliknya dengan matlamat untuk menang dan mencari
seberapa banyak gol.
''Hasil pendekatan yang
bermatlamat positif juga membolehkan aksi menghantar bola ke belakang sudah
mulai berjaya dikikis daripada pemain saya,'' katanya lagi.
Beliau turut mengakui aksi
Hairuddin Omar, Halim Jantan dan Armi Shariff kelmarin menjadi antara
penyumbang utama kemenangan Terengganu, kelmarin.
Bagaimanapun, Yunus juga
berpendapat, barisan tenaga muda Penyu itu masih lagi memerlukan masa dan
banyak pendedahan untuk mencapai kematangan permainan.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0413&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4TGoqXi6W
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan