ARKIB : 14/06/1999
EPISOD pahit musim lalu hampir
pasti tidak berulang buat Pahang yang kini hanya selangkah untuk menjulang
kejuaraan bola sepak Liga Perdana Satu musim 1999, lapor JOHARI SHAWAL.
Kejayaan manis menundukkan
musuh terdekat, Pulau Pinang di Kuantan kelmarin, harus memberi kelegaan tidak
terhingga buat pasukan bimbingan Fuzzeimi Ibrahim.
Sesudah beberapa musim kempunan
menunaikan hajat, inilah waktu terbaik bagi skuad Pantai Timur itu menebus
kehampaan lalu.
Menjenguk kedudukan mata dalam
carta liga, Pulau Pinang bakal menyerahkan mahkota kejuaraan kepada Pahang,
Sabtu depan.
Kutipan 32 mata Tok Gajah
kelihatan tidak langsung mampu digugat Negeri Sembilan dan Pulau Pinang -
biarpun masing-masing mencatat kemenangan pada perlawanan terakhir.
Cuma Fuzzeimi, yang mengambil
alih tugas Alan Davidson pada pertengahan musim, perlu memastikan pasukannya
mencatat sekurang-kurang keputusan seri pada perlawanan terakhir menentang
Kedah di Alor Setar, Sabtu depan.
Begitu pun, kekalahan sekali
pun tidak mampu dipintas Pulau Pinang dan Negeri Sembilan kerana kedua-dua
pasukan memerlukan kemenangan dengan jaringan besar - lima gol atau lebih -
pada perlawanan terakhir masing-masing.
Fuzzeimi pula hanya perlu
memastikan mereka tidak tewas besar kepada Kenari.
Malang bagi skuad juara liga
musim lalu, Pulau Pinang yang terpaksa menyerahkan mahkota kejuaraan kepada
Pahang selepas berusaha keras di Kuantan kelmarin.
Sudah terlambat bagi Harimau
Kumbang untuk meranapkan impian Pahang dan merealisasikan pula buruan mereka
apabila terpaksa pula berdepan juara Piala Malaysia, Perak pada perlawanan
terakhir di tempat sendiri Sabtu depan.
Lima gol atau lebih harus
dicari - sambil mengharapkan Pahang tumpas kepada Kedah dengan jaringan besar -
misi yang pasti mustahil.
Apa lagi dengan ketiadaan ayam
tambatannya, Azman Adnan yang mengutip kad merah ketika menentang Pahang,
kelmarin dan atas kertas, pasukan Moey Yok Ham sebenarnya sudah tewas kepada
Pahang.
Negeri Sembilan turut senasib
dengan Pulau Pinang. Satu mata yang dikutip pada perlawanan dengan Sarawak di
Paroi kelmarin, meranapkan harapan pasukan Irfan Bakti.
Si Rusa juga memerlukan
kemenangan besar pada perlawanan terakhir tetapi lawan yang akan ditentang
ialah Brunei, pasukan yang begitu liat dikalahkan di tempat sendiri.
Pendek kata, lenggok Si Rusa
tidak bermakna, cuma imej perlu dipelihara selain kempen Piala Malaysia mula
direncana.
Sabah, satu ketika penghuni
tetap tangga ke-10 Perdana Satu sehinggalah Ken Worden menyuntik semangat,
tiba-tiba menjadi pasukan keempat layak ke Piala Malaysia.
Dua lagi tempat kini direbut
tiga pasukan - Sarawak, Kuala Lumpur dan Terengganu - dengan perlawanan Kuala
Lumpur-Terengganu di Cheras, Sabtu depan dijangka hebat.
Sarawak pula memerlukan seri
dengan Sabah di Kuching untuk mengesahkan tempat.
Apa pun, tiga pasukan - Perak,
Brunei dan Kedah - yang gagal layak secara automatik ke Piala Malaysia dan satu
lagi antara tiga pasukan - Kuala Lumpur, Terengganu dan Sarawak - masih punya
kesempatan untuk beraksi dalam pertandingan berpretij itu dalam perlawanan
play-off dengan pasukan dari Perdana Dua.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0614&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4RsStaFM1
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan