ARKIB : 23/05/1999
PAHANG terus menerajui liga
bola sepak Perdana Satu selepas menumpaskan Terengganu 2-1 di Stadium
Darulmakmur, Kuantan, semalam.
Nasib Pahang segemilang jersi
serba kuning yang disarung pemainnya sekali gus menidakkan hasrat pencabar
terdekat, Pulau Pinang untuk memintasnya.
Perlawanan tersebut seperti
ulang tayang perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala
Terengganu ketika Pahang menewaskan skuad bimbingan Yunus Alif dengan jumlah
gol yang sama.
Bukan itu sahaja, Wan Rohami
Wan Ismail jugalah yang menjaringkan dua gol Pahang dan Terengganu membalas
menerusi Sapian Wahid.
Pahang memulakan separuh masa
pertama dengan rentak yang agak perlahan dan tempoh 45 minit dikuasai
sepenuhnya oleh pasukan pelawat.
Penjaga gol Pahang, Mudzar
Mohamad dipaksa bertungkus lumus ke setiap sudut untuk menyelamatkan percubaan
penyerang Terengganu terutama Sapian dan Wan Ahmad Ridzuan Hussin.
Kecemerlangan pelawat terserlah
pada minit ke-21 apabila Sapian pantas melayangkan badan untuk menanduk bola
hantaran dari kiri penjuru oleh Wan Ahmad Ridzuan untuk gol pendahuluan.
Separuh masa kedua menyaksikan
Tok Gajah terus bangkit untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-49 setelah Wan
Rohaimi berjaya menguis masuk hantaran Jalaluddin Jaafar dari penjuru kanan.
Ayam tambatan Pahang itu sekali
lagi menggegarkan jaring gol lawan pada minit ke-84 dan kali ini gol diperoleh
setelah Wan Rohaimi menolak masuk ketika berlaku pergelutan di hadapan pintu
gol.
Sementara itu, kemenangan
memihak kepada pasukan tuan rumah, Perak setelah menumpaskan Sarawak 2-1 di
Stadium Perak, Ipoh, semalam.
Walaupun bermula dengan suasana
yang agak hambar, separuh masa pertama menyaksikan Sarawak mendahului dengan
satu gol melalui jaringan Ramles Sari pada minit keenam.
Bagaimanapun, Perak cuba
mencari gol dengan membuat beberapa serangan berbahaya namun gagal
menyempurnakan peluang-peluang mencipta gol tersebut.
Peluang keemasan menjaring gol
yang paling cantik gagal disempurnakan apabila cubaan R. Vikneswaran dihalang
oleh pemain skuad Bujang Senang.
Pemain Sarawak, Nazri Yunus
mendapat kad kuning apabila menjatuhkan pemain Seladang, K. Nantha Kumar pada
minit ke-45.
Separuh masa kedua menyaksikan
permainan yang mula menyengat apabila pasukan Seladang mendapat gol pertama
hasil jaringan Liew Kit Kong pada minit ke-56 setelah berjaya merebut bola
dalam pergelutan di hadapan gol lawan.
Seminit sebelum itu, pada minit
ke-55, tendangan rakan sepasukannya, Lim Seng Kong, gagal mencari jaringan
walaupun mendapat satu peluang yang cantik melalui tandukan Kit Kong.
Tendangan Seng Kong, yang
sepatutnya merupakan gol pertama Perak, tersasar dan keluar dari padang.
Namun jaringan Kit Kong seminit
kemudiannya berjaya menggembirakan para penyokong pasukan Kejor Yob Kejor yang
menanti-nanti gol pasukan itu.
Pasukan Seladang itu
seakan-akan mendapat suntikan semangat apabila tidak sampai lima minit selepas
itu, gol kedua yang juga merupakan gol kemenangan pasukan tersebut berjaya
diperoleh.
Gol kedua pasukan pernah
menyandang juara Piala Malaysia musim lalu, terhasil pada minit ke-72, daripada
kuisan M. Nagaraja yang menerima hantaran silang dari Seng Kong.
Jaringan itu melengkapkan aksi
menarik rakan sepasukan, Azrul Amri Burhan dan Roslan Hamid, sejurus sebelum
itu.
Pada saat-saat terakhir permainan,
pemain Bujang Senang, Zaidel Sakup menerima kad merah kerana menjatuhkan Kit
Kong.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0523&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4RlrnDpby
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan