Sabtu, 24 Disember 2016

Pahang menang bergaya -- BOLA SEPAK


 

RKIB : 04/06/2000
SEBAHAGIAN penonton yang tiba sejak 4 petang lagi bagi menyaksikan upacara penutup Sukma ke-8 di Stadium Negeri Batu Kawan, Seberang Perai semalam.

PAHANG menutup tirai bola sepak Sukan Malaysia (Sukma) ke-8 cukup bergaya untuk meraih pingat emas apabila menewaskan Pulau Pinang 4-2 dalam pertandingan akhir di Stadium Bandaraya, semalam.

Ini adalah kemenangan kali keempat bagi Pahang selepas Sukma ke-4 di Johor (1992), Sukma ke-5 di Perak (1994), Sukma ke-6 di Kuantan (1996).

Sementara juara bertahan, Selangor gagal meraih sebarang pingat selepas tewas 2-4 kepada pasukan Perak yang meraih gangsa.

Dalam perlawanan akhir semalam, Pahang yang mempamerkan permainan menarik menghasilkan jaringan menerusi Ahmad Abdul Wahid (minit 15), Al-Rifaie Ali (minit 30), Mohd. Zulkifli Yusoff (minit 35) dan Iskandar Zulkernain Kassim (minit 43) manakala gol Pulau Pinang pula oleh D. Samuel Raj (minit 62) dan V. Jaganathan (minit 64).

Kesilapan pemain pertahanan, M. Prakash untuk membuat sepakan menyaksikan penyerang Pahang, Ahmad Abdul Wahid merampas bola untuk membawa masuk ke dalam kotak penalti Pulau Pinang sebelum menyepak masuk jaringan minit ke-15.

Ternyata kegagalan barisan pertahanan Pulau Pinang menyekat kemaraan Pahang membawa padah apabila hantaran Sharil Faizal Sharifuddin disudahi dengan rembatan kencang Mohd. Al-Rifaie Ali yang gagal diselamatkan penjaga gawang, Mohd. Zoolkiflee Noordin untuk memberikan gol kedua Pahang pada minit ke-30.

Pasukan Pulau Pinang jelas tidak bermaya sedangkan Pahang lebih ghairah dengan menambah gol ketiga menerusi sepakan lambung Mohd. Zulkifli Yusoff yang menerjah jaring pada minit ke-35.

Sebelum menutup tirai babak pertama, Iskandar Zulkernain Kassim pula memperoleh jaringan minit ke-43 untuk Pahang selesa mendahului 4-0.

Bagaimanapun, Pulau Pinang bangkit dalam separuh masa kedua apabila kesilapan barisan pertahanan Pahang dalam memasang perangkap ''off side'' menyaksikan D. Samuel Raj yang hanya berdepan penjaga gawang, Irewan Sulaiman mudah menolak masuk jaringan minit ke-62.

Asakan Pulau Pinang yang kembali bersemangat menyebabkan pemain pertahanan Pahang, Suhaizi Sulaiman menjatuhkan pemain lawan untuk Pulau Pinang memperoleh sepakan penalti.

V. Jagatanathan mudah menyempurnakan sepakan pada minit ke- 64 bagi merapat jurang untuk kedudukan bertukar dengan Pahang mencipta kemenangan 4-2.

PULAU PINANG: Mohd. Zoolkiflee Noordin, Badrol Hisham Bong, M. Prakash, Tan Weng Seah, V. Jaganathan, Abdul Aziz Ismail, Mahathir Mohd. Jamal Mohd., D. Samuel Raj, Zulhissyam Jamaluddin, Samiullah Thoovamy (Mohd. Rosdi Jaafar, Mohd. Razwidaura Rahman), V. Muniswaran.

PAHANG: Irewan Sulaiman, Mohd. Hairul Nizam Man, Mohd. Rafeek Moidony, Ahmad Izwan Maarup, Iskandar Zulkernain Kasim (Syed Abdillah Syed Alwi), Ahmad Abdul Wahid (Hairul Azira Ghazali), Mohd. Zulkifli Yusoff, Mohd. Azmani Abdul Kadir, Suhaizi Sulaiman, Sharil Faizal Sharifuddin, Mohd. Al- Rifaie Ali.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0604&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4TkSLmg9C © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan