ARKIB : 01/05/2000
PENGURUS pasukan Pahang, Datuk
Jamal Nasir Ismail berasa malu dan bingung dengan prestasi anak buahnya
kelmarin yang masih di takuk lama sehingga 'memanjangkan kemarau kemenangan'
selepas empat perlawanan bola sepak liga Perdana Satu.
Jamal berkata, beliau malu
menyaksikan corak permainan pemain yang belum menunjukkan kemajuan dan bingung
kerana persembahan mereka nyata terlalu jauh untuk dapat dibanggakan.
Naib Presiden Satu Persatuan
Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) itu juga mengakui sudah kebuntuan ilham untuk
mengubah prestasi Tok Gajah yang cuma seri dua kali dan kalah dua kali, selepas
ini.
''Tak tahu mana saya nak sorok
muka dengan persembahan sebegini. Setelah segalanya PBNP sediakan, saya tidak
tahu apa lagi yang tidak kena dengan pemain sampai bermain seteruk ini,''
katanya.
Menurut beliau, tambah
mengaibkannya ialah Pahang cuma gah atau indah khabar dari rupa dengan
kehadiran tonggak skuad negara sedangkan prestasi pasukan saban hari tetap
hambar.
Jamal berkata, berbanding
pemain seangkatannya dulu, pemain Pahang sekarang patut berasa bertuah dan
berterima kasih kepada persatuan yang banyak menjaga kebajikan mereka.
''Cuma harapan saya selepas ini
ialah pemain segera insaf dan bertanya kepada diri, apakah mereka mampu
memenuhi janji yang diberi sebelum mengikat kontrak dengan Pahang dulu.
Beliau mengingatkan pemain
bahawa prestasi hambar mereka telah turut mengurangkan kadar kehadiran
penyokong setia Tok Gajah ke Stadium Darul Makmur, Kuantan dari sehari ke
sehari.
''Contohnya ketika menentang
Pulau Pinang, peminat semakin hari sudah mula menjauhkan diri,'' katanya
mengulas aksi Pahang, juara bertahan Perdana Satu yang sekadar seri 1-1
kelmarin.
Katanya, kehilangan 10 mata
daripada empat perlawanan liga meletakkan Pahang dalam situasi cukup sulit dan
perlu bertindak drastik untuk menebus dan mengejar semula pasukan lain selepas
ini.
Justeru, beliau tidak
teragak-agak untuk menggugurkan sebahagian besar tonggak pasukan menjelang
kunjungan ke Stadium Likas, Kota Kinabalu bagi menghadapi Sabah, esok.
''Mereka yang dianggap tiada
komitmen lagi dengan pasukan, tidak perlu bersama ke Kota Kinabalu,'' katanya
sambil berharap, tindakan ini mampu menyedarkan mereka segera bahawa persatuan
tidak akan sesekali berkompromi dalam soal tersebut.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0501&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4TOntTbQi
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan