ARKIB : 29/09/1999
JUARA liga, Pahang menguasai
kedudukan mata kumpulan B bola sepak Piala Malaysia selepas menewaskan Kuala
Lumpur 3-1 dalam perlawanan yang berlangsung Stadium Bola Sepak KLFA Cheras, semalam.
Sentuhan gol Shahrulnizam Sahat
pada minit ke-30 dan Tengku Hazman Raja Hassan pada minit ke-72 dan 79 cukup
untuk meletakkan pasukan Tok Gajah di tangga teratas kumpulan dengan mengumpul
enam mata.
Gol tunggal pasukan tuan rumah
dijaringkan oleh Mohd Nizaruddin Yusof pada minit ke-21.
Kuala Lumpur yang tewas 1-3
kepada Brunei minggu lepas nyata bertenaga dalam usaha mencari kemenangan
pertama, sekali gus mengembalikan prestasi cemerlang seperti yang dipamerkan
dalam pertandingan liga sebelum ini.
Corak permainan yang lebih
kemas dan teratur pasukan ibu kota itu telah beberapa kali memerangkap pasukan
pelawat yang nampak agak tertekan pada awal-awal permainan.
Begitu pun, ketumpulan barisan
serangan KL yang diterajui oleh pemain muda Mohd Farid Dewan menghampakan
pasuka tuan rumah untuk mendapat gol awal. Kekebalan pertahanan Pahang juga
turut menjadi punca kepada kehampaan Kuala Lumpur untuk memecah kebuntuan.
Setelah terlepas beberapa
peluang awal itu, asakan bertali arus pasukan tuan rumah itu akhirnya
mendatangkan hasil. Nizaruddin mencipta nama sebagai penjaring yang
menyempurnakan sepakan sudut oleh K. Nanthakumar pada minit ke-21.
Gol terseut terus menyemarakan
serangan pasukan tuan rumah tetapi penjaga gol Pahang Zuraimi Hassan bertindak
cemerlang untuk menyelamatkan keadaan.
Ketika Pahang sudah
mengembalikan rentak mereka, keadaan mula berubah apabila kedua-dua pasukan
sering berbalas serangan. Kali ini Pahang lebih banyak mengatur gerak yang
sekaligus dihadiahkan gol penyamaan pada minit ke-30 melalui rembatan
Shahrulizam Sahat.
Babak kedua semakin mempamerkan
aksi yang lebih menarik - pantas dan mencemaskan tetapi penjaga gol kedua-dua
pasukan ternyata hebat megawal kubu masing-masing daripada ditembusi.
Kuala Lumpur seharusnya
dihadiahkan gol kedua tetapi percubaan jarak dekat Farid Dewan pada minit ke-55
tersasar.
Ketika permainan hanya tinggal
20 minit, Pahang membuktikan kecemerlangan mereka. Bekas pemain skuad Olimpik
negara, Tengku Hazman megubah keadaan apabila menjaringkan dua gol untuk
pasukannya pada minit ke-72 dan 79 untuk kemenagan mutlak Pahang.
Sementara itu, di Stadium
Bandaraya Pulau Pinang, dua gol masing-masing menerusi Azman Adnan dan Moey Kok
Hong kembali memulihkan semangat Pulau Pinang apabila mencatat kemenangan
sulung dalam kumpulan B semalam.
Satu jaringan tambahan daripada
Hasmawi Hassan pula melengkapkan kenduri gol skuad Harimau Kumbang itu.
Penyu yang tampil sebagai naib
juara tahun lalu tetapi ditimpa kekalahan cukup pedih itu, sekadar beroleh
jaringan sagu hati menerusi Anuar Jusoh.
Azman membuktikan sentuhannya
apabila membuka jaringan pada minit ke-15 dan nyaris menepati sasaran sejurus
kemudian jika tidak kerana perangkap ofsaid.
Namun dari jarak 50 meter,
sepakan Anuar menerjah gawang untuk jaringan penyamaan hasil sepakan percuma,
tujuh minit selepas gol Azman.
Sepakan percuma bagaikan banyak
mendatangkan tuah cuma kali ini giliran tuan rumah memanfaatkannya untuk gol
kedua menerusi Moey Kok Hong dari luar kotak penalti minit ke-49.
Sepakan yang sama sentuhan R.
Suresh Kumar terus menguntungkan tuan rumah yang mendorong jaringan Hasmawi
disusuli Kok Hong, minit ke-62 untuk gol ketiga dan keempat.
Azman merobek luka skuad Penyu
dengan kuisannya yang menghasilkan gol terakhir Pulau Pinang pada minit ke-69
selepas menerima hantaran Fouzi Soh dari sebelah kanan.
Sedang tuan rumah kian berpesta
di tengah hujan lebat, Terengganu sebaliknya ditimpa malang berganda apabila
pemainnya, A. Ganeson pula diperintah keluar padang setelah dilayangkan kad
merah kerana mengasari Azman.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0929&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4SM68l4r1
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan