ARKIB : 09/02/2000
PAHANG dijangka mempertaruhkan
gandingan eksperimen, Shahrin Majid dan Wan Ahmad Ridzuan Hussin sebagai tenaga
penggempur terbarunya menggantikan Wan Rohaimi Ismail-Azizul Kamaluddin yang
masih dibelenggu kecederaan, lapor ABDUL HAFIZ AHMAD.
Kepercayaan baru jurulatih
Fuzzeimi Ibrahim sudah pun dibalas oleh Shahrin-Ridzuan ketika mengemudi
barisan serangan menghadapi NS Chempaka dalam perlawanan persahabatan, Ahad
lalu selain menentang Negeri Sembilan, baru-baru ini.
Tidak hairanlah Fuzzeimi kini
mampu menarik nafas lega dengan persembahan positif ayam tambatan barunya itu
yang cuma mula mengikat kontrak dengan Tok Gajah bagi menghadapi saingan bola
sepak Liga Malaysia musim ini.
''Tahap persembahan mereka
bukanlah 100 peratus tapi apa yang penting, kesungguhan dan persefahaman yang
mereka pamerkan,'' ulas Fuzzeimi ketika dihubungi, semalam.
Barisan Pahang yang majoritinya
berwajah baru akibat kehilangan pemain ke skuad negara dan masalah kecederaan,
masih mampu membenam NS Chempaka 3-1 di Padang Kompleks Sukan Bentong.
NS Chempaka, pasukan bahagian
dua Liga Perdana musim ini, turut membariskan tiga bekas pemain Pahang iaitu
Raizuwah Idris, Za Zakaria dan Ahmad Shukri Mustapha.
Ridzuan dalam perlawanan itu,
sempat menyumbangkan satu gol bersama rakan senegerinya dari Terengganu, Badrul
Afzan Razali di samping jaringan tambahan oleh bekas ketua pasukan Kuala
Lumpur, P. Saravanan.
Sebelum itu, juara bertahan
bahagian satu Liga Perdana ini pada awal bulan ini, mengikat Negeri Sembilan
1-1 yang membariskan bekas penyerang sensasi negara, Azman Adnan dan Azmi
Mohamad.
Fuzzeimi menambah, apa pun dia
gembira dengan prestasi pemainnya yang berjaya menunaikan tugas masing-masing
sambil tidak lupa arahan yang diberinya.
Selain Azizul dan Rohaimi,
penjaga gol Muadzar Mohamad dan Mohd. Ali Tahar masih lagi terpaksa diketepikan
dalam perlawanan persahabatan seterusnya - menentang Angkatan Tentera Singapura
dan Johor FC kerana masalah kecederaan.
Seorang lagi penjaga gol,
Zuraimi Hassan, Ahmad Shahruddin Rosdi, Hairul Nizam Haniff dan Idris Karim turut
terkecuali kerana mengikuti sesi latihan skuad negara bagi menghadapi kelayakan
Piala Asia, bulan depan.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0209&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4SubOu8Bl
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan