ARKIB : 01/03/2000
PERSATUAN Bola Sepak Pahang
(PBNP) masih boleh bertolak ansur dengan tindakan pemain bermasalahnya, Tuan
Kamree Tuan Yahya yang keluar meninggalkan pasukan, baru-baru ini.
Naib Presiden Satu PBNP, Datuk
Jamal Nasir Ismail berkata, persatuan tidak bercadang untuk mengenakan apa-apa
tuntutan bayaran terhadap Kamree walaupun dia memang telah melanggar kontrak.
''Kalau boleh, kami mahu
mencapai persefahaman secara baik dengannya. Namun yang pasti, dia kini tidak
boleh didaftarkan sebagai pemain Pahang bagi menghadapi Liga Malaysia musim
ini,'' kata Jamal.
Beliau menambah, Kamree
bagaimanapun tidak mungkin dapat menyertai sebarang pasukan lain dalam Liga
Malaysia selepas ini kerana PBNP bertegas, enggan mengeluarkan surat pelepasan
kepadanya.
Kamree, bekas perantara Olimpik
Malaysia 1996 meninggalkan Tok Gajah walaupun baru menandatangani kontrak
bermain bagi musim ini sejurus sebelum pasukan berlepas ke Brunei untuk
menyertai Piala Jemputan NBT Toyota.
Dia sebelum itu sempat bermain
pada Kejohanan Empat Penjuru di Kota Bharu yang menyaksikan Pahang berkesudahan
di tangga tercorot di belakang Pulau Pinang, Terengganu dan JKR Kelantan.
''Kamree berkecil hati dengan
teguran jurulatih Fuzzeimi Ibrahim walaupun ia adalah untuk kebaikannya sendiri
sebagai pemain profesional.
''Pengurusan pasukan cuma
mahukan dia memperbaiki prestasinya tapi dia tidak boleh terima. Jadi saya
katakan kepadanya, jika begitu lebih baik dia tinggalkan saja Pahang,'' jelas
Jamal.
Menurut beliau, prestasi hambar
bekas pemain Kelantan itu telah dikesan oleh pengurusan pasukan sejak siri
perlawanan persahabatan di Negeri Sembilan dan Kuantan sendiri.
Apa pun, Jamal berpendapat,
pemergian Kamree tidak akan menjejaskan banyak persediaan Pahang menjelang
saingan sulung Liga Malaysia pertengahan bulan ini - Piala FA.
Sementara itu, Pahang kini
memikul misi mustahil untuk terus bersaing pada Piala Jemputan NBT apabila
tewas 1-3 kepada kelab Persija dari Indonesia, kelmarin.
Ini ekoran peluangnya ke
separuh akhir agak malap sesudah cuma seri 1-1 dengan tuan rumah, Sabtu lalu.
Tok Gajah juga perlu bergantung kepada keputusan perlawanan Brunei-Persija
untuk memastikan kemaraannya.
Jaringan tunggal juara bertahan
Perdana Satu ini diperoleh menerusi gerakan menarik bekas penyerang kebangsaan,
Azizul Kamaluddin hasil hantaran abangnya, Azhar pada separuh masa pertama.
Jamal yang juga pengurus
pasukan, berkata, tiga gol yang membolosi gawang Pahang itu bukanlah bermakna
wujudnya kelemahan ketara benteng serta penjaga gol ketiga, Azihan Kamaluddin.
''Mana-mana penjaga gol pun
memang sukar untuk menyekat gol itu,'' katanya mengulas perlawanan yang
terpaksa menampilkan barisan simpanan Pahang itu gara-gara komitmen tonggaknya
dengan skuad kebangsaan serta masalah kecederaan
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0301&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4SzqF5800
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan