ARKIB : 20/04/2000
PAHANG sanggup mengorbankan
sebilangan besar tenaga tonggak untuk digantikan dengan pemain Liga Simpanan
atau skuad bawah 19 tahun jika cara itu berkesan memulihkan prestasinya dalam
Liga Malaysia yang kian menjunam.
Pengurus pasukan, Datuk Jamal
Nasir Ismail berkata, tindakan drastik ini bakal dilakukannya tanpa mengira
sama ada pemain terbabit pernah mewakili skuad negara atau tidak.
''Apa gunanya kita memiliki
pemain yang bertaraf bintang atau pemain kebangsaan jika kekurangan kemahiran
asas masih ketara dalam aksi mereka.
''Jika tanpa kemahiran asas
seperti umpanan dan tandukan, mereka tidak layak digelar profesional kerana
soal itu sudah sepatutnya dikuasai pada peringkat bawah 14 tahun,'' katanya.
Menurut beliau, untuk mengajar
pemain kembali ke soal asas itu memang tidak dapat diterima akal sedangkan
Pahang sudah sepatutnya memasuki peringkat mengubah taktik permainan.
Kata Jamal, kesanggupan untuk
menggugurkan mereka tidak bermakna Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP)
cuba bersikap kejam atau terlalu menekan.
''Sebagai majikan yang membayar
gaji mereka, PBNP sekadar mahu memastikan komitmen wujud dalam permainan
pemain,'' tegasnya yang juga Naib Presiden Satu PBNP.
Tanpa memberitahu identiti
mereka yang kini telah disenarai hitam, beliau menambah, umum akan mengetahui
siapa sebenarnya yang terbabit pada pertemuan Perdana Satu dengan Terengganu,
Sabtu ini.
Tok Gajah tewas 0-1 kepada
Selangor dalam saingan Perdana Satu di Kuantan, kelmarin sekali gus mencatatkan
deretan kekalahan ketiga termasuk sejak suku akhir pertama Piala FA, minggu
lalu.
Sebelumnya, juara bertahan
Perdana Satu ini kecundang 1-3 kepada Johor ketika membuka tirai liga di Pasir
Gudang dan 0- 3 pada Terengganu dalam suku akhir Piala FA di gelanggang
sendiri.
Skuad bimbingan Fuzzeimi
Ibrahim ini akan bertandang ke Kuala Terengganu dua kali iaitu bagi perlawanan
Perdana Satu (Sabtu ini) dan 25 April (suku akhir kedua Piala FA).
Sementara itu, Jamal berkata,
PBNP akan menyerahkan surat bantahan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)
sebagai menyatakan rasa tidak puas hati atas mutu pengadilan Sukri Mat Amin
dari Terengganu, kelmarin.
''Dua insiden melibatkan pemain
Selangor tidak ditangani dengan tegas. Assrof Hanafiah yang menampan bola
dengan tangan patut dilayangkan kad merah kerana telah menghalang gerakan
Azizul Kamaluddin memburu gol dengan sengaja.
''Saya juga hairan bagaimana
pengadil cuma memberikan sepakan percuma dalam kotak penalti sedangkan kaki
pemain Selangor, Shamsul Amri Abu Bakar ketika itu jelas melakukan kekasaran
yang amat berbahaya,'' katanya.
Oleh: ABDUL HAFIZ AHMAD
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0420&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_08.htm#ixzz4THdKPKKq
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan