ARKIB : 13/02/2000
KETUMPULAN penyudah mungkin
menjadi masalah baru Pahang pada perlawanan persahabatan ketiga Khamis lalu
tetapi bagi jurulatih Fuzzeimi Ibrahim, dia masih boleh bertolak ansur tentang
itu.
Fuzzeimi menganggap, menentang
Johor FC di Kuantan itu sekadar perlawanan yang bersifat latihan menjelang
saingan bola sepak Liga Malaysia, bulan depan dan anak buahnya tidak perlu
didesak bermain bermati-matian.
Skuad Tok Gajah menang 2-0
hasil jaringan Shahrin Majid dan Jalaluddin Jaafar dalam perlawanan yang turut
menyaksikan kemunculan semula penyerang harapan, Wan Rohaimi Ismail dan Azizul
Kamaluddin itu.
Fuzzeimi juga masih mampu
berkompromi biarpun prestasi Rohaimi dan Azizul belum mencapai tahap memuaskan
gara-gara baru kembali daripada pembedahan kecederaan kaki masing-masing.
''Kami ada banyak peluang
tetapi sulit untuk mencipta jaringan. Saya tidak boleh desak Rohaimi dan Azizul
untuk melakukan sesuatu walaupun mereka sendiri yang bertegas mahu bermain.
''Apa pun, menang 2-0 boleh
dianggap OK. Dalam pada itu saya lihat aksi pemain lama, Azharuddin Aziz di
bahagian tengah turut membawa petanda yang membina buat Pahang,'' katanya.
Fuzzeimi turut mempertahankan gandingan eksperimen serangannya, Shahrin-Wan
Ridzuan Hussin yang hanya mula digunakan sejak perlawanan persahabatan kedua
menentang NS Chempaka di Bentong, minggu lalu.
''Ridzuan mungkin gagal dalam
penyudahan kali ini tetapi dia tampak mampu menyesuaikan kedudukannya dalam
corak serangan pantas Pahang,'' kata Fuzzeimi lagi.
Walau bagaimanapun, reputasi Pahang
selaku juara bertahan Perdana Satu masih lagi dianggap utuh selepas tiga
perlawanan persahabatan menentang Negeri Sembilan, NS Chempaka dan Johor FC
ini.
Pahang seri 1-1 dengan pasukan
Perdana Satu, Negeri Sembilan di Paroi tetapi tampak garang ketika membenam dua
anggota Perdana Dua, NS Chempaka 3-1 dan anak buah Bruce Stowell 2-0, Khamis
lalu.
Skuad Tok Gajah akan menentang
Angkatan Tentera Singapura yang dibimbing oleh bekas penyerang sensasi Asia,
Fandi Ahmad dalam perlawanan persahabatan keempatnya di Stadium Darul Makmur,
Kuantan, Selasa ini.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0213&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4SuqxRLhU
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan