ARKIB : 05/06/2000
PAHANG perlu segera melakukan
sesuatu jika mahu para penyokong mereka terus mengunjungi Stadium Darul Makmur
untuk memberi sokongan kepada pasukan itu dalam saingan bola sepak Liga Perdana
Satu musim ini.
Kekalahan 0-1 kepada pasukan
pelawat, Perak di Stadium Darul Makmur, Kuantan kelmarin nyata meresahkan.
Malah secara keseluruhannya,
pasukan itu gagal menampilkan aksi menarik terutama pada babak pertama
permainan.
Pahang terlalu banyak
mengharapkan sentuhan pemain kebangsaan, Idris Karim dari Johor untuk
menggerakan ruang serangan dari bahagian sayap.
Bagaimanapun setiap hantaran
gagal mendapat penyudah yang baik daripada rakan-rakan.
Gandingan penyerang _ Shahrin
Majid dan Azizul Kamaluddin gagal melakukan penyudah yang berkesan untuk
memastikan Pahang mendapat gol melalui serangan yang dirancang.
Ini kerana kebanyakan gerakan serta
serangan Pahang berakhir dengan sepakan-sepakan liar melepasi palang gol atau
tersasar jauh.
Persembahan hambar Pahang itu
nyata mengecewakan para peminat pasukan handalan Pantai Timur itu.
Malah corak permainan mereka
memberi gambaran seolah-olah mereka tidak bersedia atau menjalani latihan.
Persaingan liga masih awal dan
para pemain Pahang mungkin masih belum 'panas.'
Begitupun sikap pemain yang
kelihatan tidak bersungguh-sungguh ketika beraksi mungkin mengundang padah bagi
Pahang.
Ini kerana para peminat pasukan
ini menuntut persembahan terbaik Pahang terutama apabila beraksi di tempat
sendiri.
Dalam beberapa gerakan dan
serangan yang diatur, Idris Karim kelihatan memainkan peranan mencorak
permainan dan sekali-sekali membuat percubaan yang tepat ke pintu gol.
Hakikat kelemahan pasukan
Pahang ini diakui sendiri oleh jurulatihnya, Fuzeimi Ibrahim yang berjanji akan
segera memperbaiki kelemahan berkenaan pada perlawanan akan datang.
''Memang itulah (keadaannya)
dan kita berusaha memperbaikinya pada perlawanan akan datang,'' katanya ketika
dihubungi di Kuantan sebagai mengulas prestasi semasa anak buahnya.
Kelemahan Pahang menggunakan
peluang di hadapan penyokong sendiri sebaliknya digunakan sepenuhnya oleh para
pemain Perak untuk memastikan kemenangan.
Perak kerap mengatur gerakan
yang baik dan akhirnya peluang keemasan muncul dengan begitu kemas sekali pada
minit ke-78 ketika penyerang Perak membuat asakan demi asakan di kawasan lawan.
Ketika itulah V. Saravanan
berjaya merebut bola dan terus membuat hantaran silang kepada pemain gantian,
M. Nagaraja yang menunggu di tengah untuk melepaskan sepakan yang mengecewakan
tuan rumah.
Hanya selepas itu barulah
Pahang kembali mengatur langkah untuk mendapatkan gol penyamaan yang sedikit
sebanyak merancakkan permainan tetapi itu semua sudah terlambat.
Pahang harus mengubah senario
yang tidak memberangsangkan sekarang supaya kedudukan menjadi lebih baik lagi
demi peminat sukan tempatan yang sentiasa memberi sokongan.
Dengan kedudukan di tangga
kelapan hasil 10 perlawanan, ia bukan satu kedudukan yang selesa bagi pasukan
yang pernah bergelar juara Piala Malaysia.
Keadaan akan bertambah buruk
bagi Pahang pada musim ini jika langkah-langkah 'pencegahan' untuk memperbaiki
permainan yang tidak kemas itu tidak diambil daripada sekarang.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0605&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4TkVilkkV
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan