ARKIB : 22/10/1999
PENYERANG kembar Pahang, Azizul
Kamaluddin dan Wan Rohaimi Ismail perlu mengembalikan semula sentuhan berbisa
yang selama ini menjadi aset penting Pahang apabila berhadapan dengan Johor di
gelanggang lawan malam esok, bagi memastikan skuad Tok Gajah tidak terus
berputih mata, lapor YUSWANDI MAJID.
Peranan kedua-dua penyerang itu
yang selama ini digeruni lawan seperti sudah menurun sehingga menyaksikan
Pahang hanya seri dan tewas dalam dua perlawanan terakhir.
Hakikat itu sememangnya diakui
oleh jurulatih Pahang, Fuzzeimi Ibrahim dan mahu kedua-dua pemain itu memberi
persembahan terbaik bagi mengembalikan semula sentuhan berbisa.
''Peranan kedua-dua pemain itu
sangat penting tetapi dalam lima perlawanan lalu mereka hanya mampu
menjaringkan satu gol dalam lima perlawanan,'' katanya.
Azizul hanya menjaringkan satu
gol ketika Pahang menewaskan Johor, manakala Wan Rohaimi menyumbat gol ketika
menentang Brunei.
Fuzzeimi berkata, justeru itu,
kedua-dua mereka perlu berusaha mengembalikan semula sentuhan dan menjaringkan
lebih banyak gol untuk membantu Pahang layak ke separuh akhir Piala Malaysia.
''Bagaimanapun, kedua-dua
pemain itu tidak dipersalahkan kerana bola sepak adalah permainan berpasukan
yang memerlukan komitmen semua pemain bagi memastikan kemenangan,'' katanya.
Menurutnya, kegagalan Azizul
dan Wan Rohaimi menghasilkan gol juga bergantung kepada banyak faktor antaranya
kawalan ketat pertahanan lawan.
''Reputasi sebagai gandingan
penyerang berbisa pada persaingan Liga M lalu telah menyebabkan mereka sentiasa
dikawal ketat sehingga menyukarkan pergerakan mereka.
''Bagaimanapun, faktor ini
tidak seharusnya menjadi alasan sebaliknya mereka harus bijak mencari ruang
untuk memerangkap pertahanan lawan,'' katanya.
Pahang setakat ini menduduki
tangga kedua di belakang Brunei dengan perbezaan jaringan walaupun mempunyai
mata yang sama dalam kumpulan B.
Skuad Tok Gajah bermula dengan
baik pada tiga perlawanan pertama tetapi sekadar seri perlawanan seterusnya dan
tewas dalam perlawanan terakhir di tangan Sabah.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1022&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4SWuAsF4e
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan