ARKIB : 15/04/1999
MASALAH disiplin pemain skuad
Tok Gajah nampaknya terus menjadi beban pengurusan dengan kali ini, pemain
tengahnya, Alif Rohaimin Azizhan ponteng beberapa sesi latihan dan perlawanan.
Jika dulu bekas pemain
pertahanan, K. Ramachandran dikenakan denda kerana masalah yang sama, kes Alif
dijangkakan akan memaksa Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) mengambil
tindakan lebih tegas.
Pengurus pasukan, Talib
Sulaiman berkata, beliau akan mencadangkan supaya tindakan diambil terhadap
Alif dalam satu surat yang akan diserahkan kepada Setiausaha PBNP, Ahmad Fuad
Daud tidak lama lagi.
Katanya, antara lain, surat
berkenaan juga mencadangkan supaya PBNP mendenda Alif berikutan sikap kurang
berdisiplin pemain berkenaan dengan tidak menyertai beberapa sesi latihan serta
gagal beraksi di Brunei.
''Alif sudah beberapa kali
memberikan alasan untuk tidak menghadiri latihan termasuk menyatakan bahawa dia
terlibat dalam kemalangan dan mengalami sakit dada.
''Beliau juga gagal beraksi di
Brunei pada 6 April lalu kerana tidak memperbaharui pasport antarabangsanya,''
kata Talib ketika ditemui selepas mengadakan perjumpaan dengan Alif di sini,
semalam.
Dengan tindakan yang bakal
diterima Alif itu, menjadikannya pemain kedua Pahang yang dikenakan denda oleh
PBNP kerana kurang disiplin.
Alif yang merupakan seorang
pemain berkemahiran tinggi telah menjaringkan dua gol dalam Liga Perdana,
sebelum ini diberi amaran oleh pengurusan pasukan Pahang supaya lebih
berdisiplin.
''Sebagai pemain yang mempunyai
kemahiran tinggi, Alif mempunyai masa depan yang cerah namun beliau perlu
mengubah sikap dan lebih berdisiplin menjalani latihan,'' kata Talib.
Oleh: YUSWANDI MAJID
Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0415&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4RUF5byAy
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan