ARKIB : 27/12/1999
Pahang bertekad rangkul tiga
piala musim depan
JAMAL NASIR ISMAIL.
PASUKAN Pahang bertekad
mencatat sejarah tersendiri pada alaf baru ini dengan merangkul kesemua piala
dan kejuaraan yang dipertarungkan pada musim depan.
Keazaman itu jelas dilihat
daripada senarai para pemain baru yang menandatangani kontrak dengan Pahang
kali ini yang kebanyakan pemain tengah dan serangan.
Naib Presiden 1 Persatuan Bola
Sepak Negeri Pahang (PBNP) merangkap Pengurus Pasukan Pahang, Datuk Jamal Abdul
Nasir Ismail berkata, PBNP menyenaraikan 23 pemain pada musim ini.
Kebanyakan mereka, katanya,
adalah di posisi tengah dan serangan serta beberapa pemain sahaja di bahagian
pertahanan serta penjaga gol.
Ini adalah kerana, kata beliau,
pada musim lalu akibat daripada kurang mempunyai pemain berwibawa di bahagian
tengah dan serangan telah menyebabkan Pahang terlepas untuk merangkul Piala
Malaysia.
''Semasa di peringkat liga kita
tidak menghadapi masalah kerana kesemua pemain utama dapat diturunkan, bagaimanapun
masalah mulai timbul apabila memasuki persaingan Piala Malaysia kerana banyak
pemain utama yang telah cedera.
''Oleh itu kita terpaksa
turunkan pemain simpanan yang tidak mempunyai kemampuan yang seimbang dengan
pemain utama seperti di posisi penyerang Azizul Kamaludin dan Wan Rohaimi Wan
Ismail,'' katanya kepada pemberita di Kuantan, semalam.
Terdahulu beliau menyaksikan
pemain menandatangani kontrak masing-masing pada kira-kira pukul 11 pagi di
pejabat PBNP.
Selain itu, kata beliau, PBNP
juga menambah peruntukan tahun ini sebanyak RM300,000 kepada RM2.7 juta bagi
perbelanjaan membeli pemain baru dan kenaikan gaji para pemain antara lima
hingga 10 peratus.
Bagaimanapun, jelasnya, tahap
siling gaji RM8,000 akan dikekalkan terhadap semua pemain dengan pemain yang
mewakili pasukan kebangsaan akan memperoleh gaji RM5,000 ke atas.
Sementara pemain yang hanya
beraksi pada peringkat negeri, katanya, menerima gaji RM5,000 ke bawah dan
pemain muda yang dibawa masuk menerima gaji sebanyak RM1,000.
Pahang, tambahnya, akan
menghadapi perlawanan mereka pertama iaitu pada 25 Februari hingga 9 Mac
apabila terpilih mewakili negara pada kejohanan antara kelab di Brunei.
Oleh itu beliau berharap para
pemain akan mengekalkan prestasi mereka dan tahap disiplin yang tinggi bagi
memastikan Pahang menang di dalam semua perlawanan yang dihadapi.
Kongsi Konten di :
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1227&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4SnIYW4Z2
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan