ARKIB : 09/06/1999
PAHANG masih bertahan di tangga
teratas kedudukan mata bola sepak Perdana Satu meskipun tewas 0-1 kepada Kuala
Lumpur di Stadium Kuala Lumpur (KLFA), Cheras semalam.
Kejayaan Pahang mengekalkan
kedudukan itu turut dibantu oleh kegagalan pesaing terdekatnya, Pulau Pinang
yang hanya meraih satu mata di tempat sendiri selepas kalah 3-4 kepada Sabah
dalam penentuan tendangan penalti.
Pahang yang mengintai untuk
mencari tiga mata penuh bagi menjarakkan diri dari saingannya Pulau Pinang dan
Negeri Sembilan, akur dengan jaringan tunggal perlawanan dihasilkan penyerang
Kuala Lumpur, G. Muthu pada minit ke- 79.
Begitupun kemenangan milik tuan
rumah itu sekadar memperbaiki kedudukannya dalam saingan liga dalam usaha
mencari enam tempat secara automatik ke Piala Malaysia dengan dua baki
perlawanan perlu diharungi.
Gol kemenangan Kuala Lumpur
hanya diperolehi pada babak kedua hasil hantaran cantik M. Eswaran yang tepat
ditanduk masuk oleh Muthu menewaskan Mudzar.
Gol itu menyelamatkan keadaan
ketika babak awal bermula dengan aksi yang membosankan kerana corak permainan
berhati- hati kedua-dua pasukan.
Begitupun Pahang tersentak
dengan ancaman awal tuan rumah pada minit ke-10.
Mohd. Imran Ahmad yang memperoleh
peluang terbaik di depan pintu gol pelawat sekadar melepaskan rembatan kencang
tidak menepati sasaran.
Pahang yang terdesak cuba
menggandakan asakan serangan menerusi rangkaian Azizul Kamaluddin dan Wan
Rohaimi Ismail tetapi mendapati benteng Kuala Lumpur dikemudi Azlan Hussain
sukar ditembusi.
Sebaliknya tuan rumah jelas
menguasai pentas saingan dengan kawalan dan hantaran tepat namun buntu ketika
di depan pintu gol pelawat.
Giliran pemain tinggi lampai
tuan rumah, Nizaruddin Yusof hampa melakukan rembatan kencang dari luar kotak
penalti sekadar melewati palang gol.
Pelawat sekadar memperolehi
peluang terbaik menerusi Ali Taha namun rembatannya juga turut melewati palang
gol tujuh minit sebelum rehat.
Pada minit ke-59, usaha Kuala
Lumpur untuk memecaah kebuntuan jaringan gol hampir menjadi kenyataan tetapi
rembatan lemah Nizaruddin sekadar tepat ke dakapan penjaga gol Pahang, Mudzar
Mohd.
Pahang terus tenggelam tanpa
aksi menarik menjadi paparan jauh berbanding ketika menewaskan Brunei 2-0 Sabtu
lepas di gelanggang sendiri.
Pada minit ke-75, pelawat
hampir-hampir membuka tirai jaringan menerusi rembatan kencang Jalaludin Jaafar
berjaya ditampan pertahanan tuan rumah.
Kebuntuan jaringan gol menjadi
milik tuan rumah pada minit ke-79 apabila hantaran silang M.Eswaran berjaya
ditanduk masuk oleh penyerangnya G.Muthu menewaskan Muadzar.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0609&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4RqOHsX00
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan