ARKIB : 19/04/2000
Pahang terus ditimpa malang
SELANGOR memanfaatkan
kesempatan daripada rentak hambar Pahang kebelakangan ini apabila mengaibkan
juara bertahan itu 1-0 pada perlawanan bola sepak Perdana Satu di Stadium Darul
Makmur, Kuantan semalam.
Sedang Tok Gajah meratapi
deretan kekalahan sejak di Pasir Gudang lalu, Red Giant pula mempamerkan
langkah meyakinkan dengan memungut tiga mata penuh.
Penyumbang kemenangan sulung
pasukan pelawat ialah pemain yang kurang dikenali, S. Sivaram pada minit ke-55.
Sekalipun masih terkilan kerana
cuma beroleh satu mata Sabtu lalu, Selangor ternyata garang untuk menguasai
babak pertama menerusi gandingan dua penyerang kebangsaan Zami Mohd. Nor dan
Rusdi Suparman.
Pahang pula seperti tidak
memikirkan betapa reputasinya selaku juara bertahan Perdana Satu dan kelebihan
bermain di gelanggang sendiri perlu dibela dan dimanfaatkan.
Hantaran dan persefahaman pemain
tuan rumah begitu longgar hinggakan barisan tengah dan serangannya sekadar
mampu mengejar bola tanpa sebarang gerakan bermakna.
Di kawasan tempat duduk utama,
bagaikan ada isyarat protes di kalangan penyokong Tok Gajah gara-gara prestasi
hambar pasukan mereka sejak suku akhir pertama Piala FA lalu. Ini terbukti
apabila cuma 2,000 penonton masih sangggup hadir di Stadium Darul Makmur.
Penjaga gol Selangor, Azmin
Azram Aziz lebih banyak berlegar-legar di kawasan penaltinya sedangkan Zami dan
Rusdi tidak putus-putus meluaskan kemaraan mereka ke kubu lawan.
Satu rembatan jarak jauh
pasukan pelawat muncul menerusi Jaafar Salleh menguji penjaga gol Pahang,
Juraimi Hassan pada minit ke-24 tetapi terlalu tinggi untuk menemui cabaran.
Selangor mengganas lagi pada
minit ke-37 namun Rizal Hassan mensia-siakan gerakan satu sama satunya dengan
Juraimi apabila sepakannya tersasar.
Rusdi pada minit ke-48 juga
senasib dengan Rizal. Dia yang cuma perlu mengatasi Zuraimi masih gagal
menyumbangkan gol.
Usaha Selangor itu bagaimanapun
berbalas pada minit ke-55. Sepakan sudut daripada Jaafar dari sebelah kiri
tepat menyapa kepala Sivaram yang melompat lalu menanduk masuk untuk gol
pelawat.
Minit ke-66 menyaksikan satu
lagi peluang Selangor tiba untuk menambah gol.
Nazzab Hizan nyaris muncul
penjaring gol kedua jika tanpa tampanan pantas Zuraimi.
Tuan rumah akhirnya menemui
peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-75 malangnya sepakan
percuma dalam kotak penalti oleh Badrul Afzan Razali memilih tembok pertahanan
daripada menemui gawang Selangor.
PAHANG: Zuraimi Hassan,
Jalaluddin Jaafar, Suhaimi Mohd. Nor, Azahar Kamaluddin, Wan Rohaimi Ismail,
Shahrin Majid (Azlan Rahman), Azizul Kamaluddin, K. Ramachandran (Shahnoor
Safi), Khairul Nizam Hanif, Azaruddin Aziz, Idris Karim (Badrul Afzan Razali).
SELANGOR: Azmin Azram Aziz,
Shamsul Amri Abu Bakar, B. Rajnikandh, M. Chandran, Nazzab Hidzan, Rusdi
Suparman, Zami Mohd. Nor (Faizal Ezahar), S. Sivaram (Nor Suhaimi Bahaudin),
Assrof Hanafiah, Rizal Hassan, Jaafar Salleh.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0419&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4THWfZrRC
© Utusan Melayu (M) Bhd