ARKIB : 05/03/2005
IPOH - Jurulatih dari Brazil,
Toni Netto terpaksa mengatur strategi yang lebih berkesan bagi menjinakkan
Pahang dalam pertemuan Liga Super di Stadium Perak, malam ini.
Netto mengakui strategi yang
disusun itu memerlukan komitmen yang tinggi daripada semua pemain supaya
persembahan skuad Seladang akan lebih berkesan.
Penyerang lincah, Keita
Mandjou, Harizul Izuan Abd Rani dan Rafdi Rashid akan menjadi tonggak utama
Perak bagi merealisasikan strategi jurulatih tersebut.
Namun begitu, Netto tidak dapat
menggunakan `kereta kebal' Perak, K. Nanthakumar bagi menghalang kemaraan
serangan Pahang yang dijangka bertali arus kelak.
Nanthakumar terpaksa
diketepikan kerana menerima kad kuning ketiga dan pemain import, Troare Abdoul
Aye akan mengisi kekosongan tersebut untuk digandingkan dengan Syamsol Saad,
Marian Juhas dan Chan Wing Hoong.
Jurulatih itu terpaksa memerah
otak bagi merangka strategi mantap setelah menerima kritikan hebat daripada
para penyokong tempatan kerana persembahan skuad Seladang dikatakan semakin
merosot.
Sebelum ini, para penyokong
tersebut menyatakan Netto sudah ketandusan idea apabila gerakan skuad Seladang
dikatakan mudah dipintas dan dipatahkan oleh pasukan lawan.
Kini, jurulatih itu mula
dipandang serong oleh para penyokong Kejor Yeop Kejor kerana gagal mempamerkan
persembahan mantap sejak akhir-akhir ini.
Perak disebut-sebut mampu
memberi tentangan sengit kepada pasukan-pasukan lain, tetapi hanya berada di
tangga kelima liga dengan mengumpul tujuh mata.
Pasukan itu mencatat dua
kemenangan, menumpaskan Selangor Public Bank 1-0 dan MPPJ 2-1 serta seri 2-2 dengan
Perlis.
Skuad Seladang kalah kepada
Telekom Melaka 3-0, Pulau Pinang 1-0 dan Sabah 1-0 sehingga menimbulkan
perasaan tidak puas hati di kalangan penyokong Perak.
Namun, Netto yang menerajui
skuad Seladang sejak empat tahun lalu berjaya membawa Perak menjulang Piala
Liga, Piala FA dan Piala Sumbangsih.
Pengurus pasukan, Datuk Jamal
Nasir Rasdi turut mengakui strategi permainan Perak gagal memberi tekanan yang
berkesan kepada pihak lawan sejak akhir-akhir ini.
Di samping itu, Netto turut
berkata: ``Skuad Seladang akan mempelbagaikan persembahannya supaya bersesuaian
dengan pasukan yang hendak ditemuinya.''
Beliau terpaksa merombak
kesebelasan utama skuad Seladang beberapa kali kerana persembahan para
pemainnya sering turun naik.
Namun begitu, beliau percaya
Perak mampu mempamerkan persembahan yang menyengat malam ini kerana semangat
para pemainnya semakin membara.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0305&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4iBJWYG8x
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan