Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
Kuantan: “Saya pernah menang
beberapa gelaran sebelum ini tapi Piala FA tetap menjadi keutamaan saya,” kata
penyerang Pahang Matheus Alves menjelang kemuncak pertembungan dengan Kedah
pada final Piala FA di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.
Pemain import dari Brazil itu
sudah mengumpul 12 gol dalam kancah Liga Super dan mengukir nama dua kali dalam
saingan Piala FA pada musim pertamanya bersama skuad Tok Gajah.
Justeru, Alves pantas memberi
amaran kepada Kedah yang dia masih belum puas dengan rekod jaringannya itu.
“Memang sebagai penyerang saya
mahu menjaringkan gol setiap perlawanan. Tapi saya lebih utamakan kemenangan
pasukan. Saya perlu bantu pasukan dalam setiap aspek bukan saja menjaringkan
gol.
“Kami perlu berusaha lebih
keras dan saya percaya kami ada peluang baik untuk menang,” katanya.
Alves, 23, yang sebelum ini
beraksi dengan kelab Korea Selatan Gangwon FC bakal menjadi taruhan jurulatih
Dollah Salleh di bahagian serangan selain dibantu seorang lagi pemain import
Mohamadou Sumareh untuk merobek gawang Helang Merah, Sabtu ini.
Ini kali pertama Pahang bertemu
Kedah di pentas final Piala FA dan daripada tiga final sebelum ini, skuad Tok
Gajah berjaya menang dua kali ke atas FELDA United pada 2014 dan Perlis (2006)
selain tumpas di tangan Sabah (1995).
Menurut Alves, meskipun mereka
tewas 1-4 kepada Kedah dalam perlawanan Liga Super, Februari lalu namun dia
percaya aksi final adalah suasana berbeza.
“Kedah pasukan yang bagus, kami
kalah kepada mereka sebelum ini tapi final adalah perlawanan berbeza, mana-mana
pasukan ada peluang menang,” katanya.
SUMBER-Artikel ini disiarkan
pada : Rabu, 17 Mei 2017 @ 8:45 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan