Isnin, 29 Mei 2017

Pahang mula rasa panas



ARKIB : 07/05/2005
Oleh: AMRAN MULUP

KUALA LUMPUR - Perlis kini mampu mengukir senyum tetapi tidak dengan Pahang yang sedar kedudukan mereka kian tercabar dalam kancah saingan Liga Super.

Pahang tidak punya banyak pilihan melainkan memahatkan kemenangan ke atas Telekom di Stadium Hang Tuah malam ini jika tidak ia bakal menyaksikan Public Bank dan Pulau Pinang bakal memintas mereka untuk berada di tangga kedua liga.

Tiada sebab yang boleh menghalang Pahang daripada bangkit untuk merapatkan diri dengan Perlis kerana sebelum ini pemain beraksi pada tahap terbaik sebelum menerima kekalahan 1-5 kepada Perlis.

Jurulatih Pahang, Zainal Abidin Hassan pastinya akan mengadunkan barisan terbaiknya untuk menyekat Telekom daripada mengukir kemenangan yang bakal menyaksikan skuad Tok Gajah bakal tersisih di tangga kedua dipintas sama ada Pulau Pinang dan Public Bank.

Ketika Pahang mengatur strategi mantap, Perlis sedikit lega kerana akan beraksi malam esok berdepan dengan kekentalan Public Bank di Stadium Selayang.

Perlis pula cukup selesa berada di singgahsana tampuk Liga Super berbekalkan kelebihan enam mata mengatasi Pahang di tempat kedua bakal berdepan ujian getir berdepan dengan kekentalan Public Bank.

Begitu pun jurulatih Perlis, Abdul Rahman Ibrahim mula resah dengan kedudukan `selesa' pasukannya, bimbang jika pemain mula dibuai mimpi indah berbangga dengan kedudukan berada di puncak Liga Super.

Kejayaan menumpaskan Pahang 5-1 dan Pulau Pinang 2-0 sebaliknya merangsang dan mengundang lawan untuk berusaha lebih menjinakkan Perlis.

Abdul Rahman sudah tentunya sedar betapa Public Bank bercita-cita tinggi untuk menyekat Perlis daripada terus mengukir kemenangan malam esok.

Dalam pada itu, Skuad Singa Utara kini menjadi `pemerhati' melihat sama ada Pahang dan Pulau Pinang bakal merapatkan diri untuk mencabar mereka.

Pulau Pinang pula akan menggunakan kelebihan bermain di gelanggang sendiri di Stadium Bandaraya untuk menanti kunjungan MPPJ.

Skuad Pulau Mutiara itu sudah tentu mahu memahatkan kemenangan selepas tunduk 0-2 kepada Perlis baru-baru ini.

Bagaimanapun, Pulau Pinang menyedari halangan getir dengan kebangkitan MPPJ bekas juara Piala Malaysia 2003 selepas menewaskan Perak 3-1.

Peluang terbaik buat MPPJ perlu menewaskan Pulau Pinang untuk bangkit selepas persembahan muram di awal musim jika tidak mereka bakal tersisih ke Liga Perdana musim lalu.

Dalam perlawanan lain pula bakal menyaksikan pasukan tangga tercorot Perak melayani kedatangan Sabah di Stadium Perak.

Perak juara Piala FA musim lalu mengharungi saingan yang penuh ranjau terpaksa terjerumus di tangga terbawah liga.

Skuad Seladang kini dicemuh oleh seluruh peminat fanatik yang mahukan jurulatih Toni Netto disingkirkan kerana persembahan tidak menentu pasukan itu.

Sabah pula dilihat semakin menunjukkan peningkatan walaupun sekadar seri 1-1 dengan Telekom Rabu lalu dan mereka sudah tentu mahu mengambil peluang kelemahan Perak untuk mengutip tiga mata berharga.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0507&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4iTApEudH
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan