Marko SIMIC menjalani latihan
kecergasan sewaktu sesi latihan
MARKO SIMIC menjalani latihan
kecergasan sewaktu sesi latihan pasukan Negeri Sembilan di Padang UiTM,
Seremban semalam untuk persediaan menentang Pahang. - UTUSAN/Aswad Yahya
Nazarudin Shahari
13 Mei 2017 3:00 A
SEREMBAN 12 Mei – Negeri
Sembilan akan memanfaatkan setiap saat dalam 90 minit permainan separuh akhir
kedua Piala FA malam esok di gelanggang sendiri dalam usaha mencipta kejutan ke
atas gergasi Liga Super, Pahang bagi mencapai cita-cita layak ke perlawanan
akhir.
Ketua jurulatih Mohd. Asri
Ninggal berkata, walaupun ketinggalan 1-0 secara agregat kepada Pahang,
kedudukan itu tidak melemahkan semangat Negeri Sembilan untuk mengubah nasib
mereka.
“Ya, di atas kertas, Pahang
mempunyai kelebihan satu gol ke atas kami tetapi kita mesti ingat ada 90 minit
lagi yang membuka peluang sekiranya kita memberi tumpuan penuh kepada
permainan.
“Kami akan bermain
bersungguh-sungguh, kena ada keyakinan dan kesungguhan sebab apabila kita sudah
sampai di separuh akhir, kita tidak boleh pilih pasukan lawan,” katanya ketika
ditemui di padang Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seremban di sini hari ini.
Beliau sebelum itu
mengendalikan latihan terakhir pasukan bersama Pengarah Teknikal Persatuan Bola
Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Jorg Peter Steinebrunner sebelum perlawanan malam
esok.
Dalam separuh akhir pertama di
Stadium Darul Makmur, Kuantan pada 30 April lalu, Pahang menewaskan Negeri
Sembilan 1-0 menerusi gol sendiri pemain Negeri Sembilan, Annas Rahmat pada
minit ke-81.
Negeri Sembilan pernah
merangkul Piala FA pada 2003 dan 2010.
Asri berkata, dia percaya
walaupun perlawanan itu adalah antara pasukan Liga Perdana menentang gergasi
Liga Super, namun Negeri Sembilan mampu memberi saingan sengit di Stadium
Tuanku Abdul Rahman yang dijangka penuh dengan penyokong tuan rumah.
Beliau mengakui prestasi
pasukan Negeri Sembilan agak merosot dalam beberapa perlawanan terakhir Liga
Perdana yang menyaksikan pasukan itu hanya seri dengan Perlis dan ATM yang
masing-masing berada di kedudukan terbawah liga.
“Kami bermain dengan baik
tetapi tindakan penyudah yang agak tumpul. Kelemahan ini telah dikenal pasti
dan kami cuba atasi sebelum turun malam esok,” ujarnya.
Mengenai penjaring utama skuad
itu, Bruno Suzuki yang dibelenggu kecederaan, katanya pemain itu telah pulih
dan dijangka dapat diturunkan dalam kesebelasan utama.
Suzuki, 26, rakyat Brazil
keturunan Jepun telah dipilih sebagai Pemain Terbaik Bulanan Persatuan Pemain
Bola Sepak Profesional Malaysia bagi Februari 2017 dan telah menjaringkan tujuh
gol setakat ini.
Selain Suzuki, Negeri Sembilan
juga menaruh harapan kepada dua lagi pemain importnya iaitu Lee Andrew Tuck,
28, dari England dan Marko Simic, 28, dari Croatia.
sumberArtikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/negeri-sembilan-yakin-mampu-cipta-kejutan-ke-atas-tok-gajah-1.480523#ixzz4gxLPzkIh
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan